• 9 Kepala Dalam Kotak

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    ZAMA, JEPUN: Polis menahan seorang lelaki susulan penemuan sembilan mayat tanpa kepala yang dipotong dan daging disiat di sebuah rumah di pinggir Tokyo, lapor media semalam.

    Takahiro Shiraishi, 27, dilaporkan mengaku menyiat daging mayat berkenaan dan membuangnya ke dalam tong sampah sebelum meletakkan najis kucing untuk menutup bukti.

    Shiraishi memberitahu polis, dia memotong mayat berkenaan di dalam bilik air dengan gergaji yang turut ditemui di dalam biliknya.

    Tindakannya itu sekali gus mencetuskan spekulasi dia adalah pembunuh bersiri selepas dipercayai membunuh semua sembilan mangsa.

    Beberapa jiran suspek kelihatan keliru dan sukar untuk mempercayai bagaimana tindakan kejam seperti itu boleh berlaku berhampiran mereka.

    “Ia sangat kejam. Dia menggunakan gergaji untuk memotong mayat berkenaan. Dia mesti tidak normal,” kata seorang penduduk berusia 83 tahun, Hideaki Hosogaya.

    Akhbar Sankei Shimbun turut memetik kenyataan seorang lelaki yang mengatakan tercium bau yang luar biasa di kawasan kediaman itu.

    “Saya ingatkan ia bau kumbahan,” katanya.

    Polis menggunakan kanvas biru untuk menghalang pandangan di dalam bangunan dua tingkat itu dan menutup tingkap di bilik tempat mayat berkenaan ditemui.

    Polis pada mulanya menemui dua kepala di dalam sebuah kotak penyejuk di pintu masuk rumah berkenaan sebelum menemui bahagian badan lain.

    “Ketika siasatan dijalankan, kepala semua mayat itu ditemui di dalam pelbagai bekas penyejuk di rumah berkenaan,” lapor rangkaian televisyen swasta, TBS.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " 9 Kepala Dalam Kotak "