• 8 Saat, Lesap 3 Guni Duit

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+

    Dua penjenayah tanpa senjata mengambil masa kurang lapan saat melarikan tiga guni wang dianggarkan berjumlah RM150,000 dari sebuah van keselamatan dalam kejadian di hadapan sebuah bank di Taman Sri Serdang, Serdang, Selangor, 10.30 pagi tadi.

    Sumber polis berkata, ketika kejadian empat pengawal keselamatan sedang bertugas untuk mengambil duit dari bank berkenaan.

    Katanya, dua pengawal berada dalam bank bagi urusan pemindahan duit manakala dua lagi pengawal berada dalam van.

    "Menerusi siasatan awal, terdapat dua pengawal berada dalam van iaitu satu di bahagian pemandu, manakala seorang lagi di belakang yang menjadi tempat simpanan guni duit itu.

    "Rakaman CCTV di tempat kejadian menunjukkan dua penjenayah yang memakai topi keledar menghampiri van dan terus membuka pintu tepi van.

    "Sebaik membuka pintu, penjenayah terus melarikan tiga guni beg duit kurang daripada lapan saat menggunakan sebuah motosikal Yamaha 125Z," katanya.

    Menurut sumber itu lagi, polis sedang menyiasat kemungkinan terdapat unsur subahat dalam kalangan pengawal berikutan penjenayah membuka pintu van dengan mudah selain tiada senjata digunakan seolah-olah ia dirancang terlebih dulu.

    Katanya, buat masa ini polis menahan keempat-empat pengawal bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.

    “Lazimnya, van keselamatan hanya boleh dibuka menggunakan kunci keselamatan utama ataupun dibuka oleh orang yang berada di dalam van.

    "Jadi, kita tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur subahat antara empat pengawal terbabit," katanya.

    Sementara itu Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias mengesahkan kejadian dan memaklumkan pihaknya melakukan Op Tutup bagi mengesan dua penjenayah terbabit.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 8 Saat, Lesap 3 Guni Duit "