• 8 Maut Serangan Berdarah Di New York

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    Lapan maut manakala lebih 12 mangsa lain cedera apabila seorang lelaki yang memandu sebuah trak sewa merempuh pejalan kaki dan penunggang basikal di laluan sikal berhampiran Hudson River, New York, semalam.

    Pihak berkuasa menyifatkan perbuatan itu sebagai serangan pengganas.

    Menurut pihak berkuasa, suspek berusia 29 tahun cedera di perut ditembak polis sebelum berjaya ditangkap selepas trak dipandunya bertembung dengan sebuah bas sekolah.

    CNN dan The New York Times yang masing-masing memetik sumber penguat kuasa undang-undang melaporkan pasukan penyiasat menemui satu nota ditinggalkan suspek yang mendakwa melakukan serangan itu atas nama kumpulan militan Islam.

    Sementara itu, sumber penguat kuasa undang-undang tempatan memberitahu Reuters, suspek serangan itu adalah imigran kelahiran Uzbekistan.

    Kejadian terbaru itu menyebabkan kehilangan nyawa paling ramai dilakukan suspek pengganas di New York sejak serangan berani mati yang memusnahkan menara berkembar Pusat Dagangan Dunia di Manhattan pada 11 September 2001 yang mengorbankan 2,600 orang.

    Insiden berkenaan yang berlaku selang beberapa blok bangunan tidak jauh dari Pusat Dagangan Dunia itu menyamai beberapa serangan menggunakan kenderaan yang berlaku di Eropah dalam tempoh 15 bulan lalu.

    Datuk Bandar New York Bill de Blasio berkata, serangan itu adalah perbuatan pengganas khususnya dilakukan pengecut yang mensasarkan kepada orang awam yang tidak berdosa yang tidak mengetahui mengapa perbuatan itu ditujukan kepada mereka.

    Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika juga menyifatkan serangan itu sebagai perbuatan pengganas manakala Gabenor Cuomo pula berkata, suspek dipercayai melakukan tindakan itu bersendirian.

    “œTiada bukti yang boleh mengaitkan perbuatan itu membabitkan plot yang lebih besar dan meluas. Perbuatan itu adalah tindakan seorang individu yang boleh menyebabkan kesakitan, kecederaan mahupun kemungkinan kematian,” katanya pada sidang media.

    Ditanya CNN sama ada suspek sudah dikenal pasti pihak berkuasa sebelum serangan itu, beliau berkata, masih terlalu awal untuk memberikan anda jawapan yang pasti.

    Pesuruhajaya Polis New York James O’Neill enggan mendedahkan kepada umum identiti penyerang terbabit, namun sumber yang rapat dengan siasatan kes itu berkata, suspek dikenali sebagai Sayfullo Saipov yang dikatakan mula negara itu pada 2010.

    Sementara itu, di Kuala Lumpur, Bernama melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan tindakan seorang pemandu trak merempuh laluan basikal dan pejalan kaki yang menyebabkan lapan terbunuh dan lebih 12 cedera di Lower Manhattan, New York, semalam sebagai serangan kejam dan pengecut terhadap orang awam.

    “Ingatan dan doa saya untuk New York. Kehilangan nyawa tidak berdosa hari ini.

    “Kami bersama berdiri teguh menentang serangan pengecut terhadap kemanusiaan,” katanya menerusi akaun Twitter rasminya hari ini.

    Laporan media menyebut seorang lelaki berusia 29 tahun memandu trak disewa dan merempuh laluan basikal dan pejalan kaki sebelum bertembung dengan sebuah bas sekolah.

    Pihak berkuasa menganggap tindakan lelaki itu sebagai serangan pengganas.

    Selepas serangan itu, suspek dikatakan keluar dari kenderaan sambil memegang dua senapang iaitu senapang paintball dan senapang angin sebelum ditembak di perut oleh polis dan ditahan.-Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " 8 Maut Serangan Berdarah Di New York "