• 7 Kementerian Kerjasama Perkasa TVET

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+

    MARAN: Kementerian Sumber Manusia mengambil langkah proaktif menjalin kerjasama dengan enam kementerian dalam usaha mencapai sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang tahun 2020.

    Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, berkata melalui kerjasama itu Kementerian Sumber Manusia menjadi penggerak utama dalam usaha meningkatkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara.

    "Ia membabitkan kerjasama tujuh kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

    "Kita sudah mengadakan mesyuarat pertama membabitkan pegawai tinggi setiap kementerian bagi menyediakan kertas kerja untuk dibentangkan kepada Kabinet," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kolej Komuniti Cawangan Maran oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, di sini.

    Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abdul Aziz.

    Ismail berkata, antara pendekatan dilaksanakan ialah memperkemaskan kursus ditawarkan institusi latihan kemahiran di seluruh negara.

    Selain itu, katanya, usaha akan terus dilakukan bagi mewujudkan pelbagai pendekatan dan melihat kepada kesesuaian untuk mewujudkan kursus baharu yang berpotensi.

    "Mungkin kita boleh memikirkan bidang baharu seperti membaik pulih robot yang belum ditawarkan buat masa ini dan meningkatkan lagi bidang yang masih kurang seperti berkaitan pembaikan pesawat.

    "Persepsi masyarakat terhadap pendidikan teknik dan vokasional juga sudah berubah dan ramai yang mengakui bahawa bidang kemahiran lebih menjanjikan peluang pekerjaan," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 7 Kementerian Kerjasama Perkasa TVET "