• 6 Ribu Kekosongan, Pengambilan Politeknik Masih Dibuka

    Published: Thursday, 16 November 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA – Politeknik Malaysia masih membuka pengambilan pelajar untuk kemasukan Disember ini secara jumpa terus sehingga 15 Dis ini bagi memenuhi 6,000 kekosongan yang masih belum diisi.

    Pengarah Bahagian Pengambilan Pelajar (BAP) Jabatan Pendidikan Politeknik, Aziz Zuddin Othman berkata sehingga kini 10,000 pelajar telah ditawarkan melanjutkan pengajian melalui permohonan secara dalam talian yang telah dibuka pada Ogos lepas.

    “Untuk pengambilan Disember ini kita menawarkan 16,000 tempat kepada pelajar yang ingin menyambung pengajian di peringkat diploma.

    Setakat ini hanya 10,000 pelajar sahaja yang telah menerima tawaran daripada permohonan secara dalam talian (online).

    “Kerana itu kita membuka kepada pelajar yang tidak sempat memohon secara online datang ke mana-mana politeknik berhampiran,” katanya.

    Katanya mereka hanya perlu membawa salinan sijil dan dokumen pengenalan diri serta ibu bapa dan sekiranya mereka layak mengikut kekosongan bidang yang dipohon , boleh terus mendaftar bagi memulakan pengajian.

    Pendaftaran bagi kemasukan Disember akan bermula 19 Nov dan berakhir 15 Dis.

    Abdul Aziz berkata beliau tidak menolak kemungkinan kekurangan pelajar yang memohon pada sesi pengambilan Disember disebabkan ramai yang telah melanjutkan pengajian sama ada di institusi pengajian tinggi awam dan swasta lain.

    “Daripada tinjauan rambang kita, ramai juga lepasan SPM pada tahun lepas yang tidak mahu melanjutkan pelajaran kerana ingin bekerja. Kita turut meminta kerjasama pelajar yang belajar bersama kita untuk menguar-uarkan kepada rakan-rakan mereka yang belum melanjutkan pengajian untuk datang dan membuat permohonan secara terus,” katanya.

    Beliau berkata bidang kejuruteraan antara yang paling banyak kekosongan pada pengambilan sesi Disember ini berbanding bidang-bidang lain.

    Kebanyakan yang memohon tidak melepasi syarat utama iaitu 3 kepujian dalam subjek Matematik, Sains atau teknologi serta mana-mana subjek lain.

    “Sekiranya pelajar tersebut tidak mempunyai kepujian dalam Matematik tetapi sangat meminati bidang kejuruteraan, kita akan hantar mereka mengikuti pradiploma selama satu tahun di beberapa buah politeknik terpilih untuk mendalami subjek Matematik dan Sains sebelum boleh melanjutkan ke peringkat diploma,” katanya.

    Katanya bidang logistik, perdagangan, pelancongan dan hospitaliti antara yang paling banyak dipohon setiap tahun dan sesi pengambilan ke Politeknik adalah pada Jun dan Disember. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " 6 Ribu Kekosongan, Pengambilan Politeknik Masih Dibuka "