• 6 mayat pejuang Besut dibunuh Jepun dikebumi semula

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+
    BESUT: Satu majlis pengebumian 6 pejuang yang dibunuh kejam ketika zaman penjajahan Jepun berasal dari daerah ini akan diadakan di Tanah Perkuburan Kampung Alur Belangga, Alor Keladi, Hulu Besut, selepas waktu Zohor, Sabtu ini.

    Enam pejuang berkenaan ialah seorang penggawa, Wan Embong Wan Zainal, dan 5 rakannya iaitu Ketua Kampung Lapan Kejur, Kasim Abdul Samad; Ketua Kampung Dengir, Husain Abdullah; Ketua Kampung Bekok, Othman Mamat; Ketua Kampung Teluk, Ismail Ahmad dan Imam Surau Kampung Teluk yang dikenali sebagai Yatim Ahmad.

    Mereka dikatakan dibunuh kejam oleh tentera Jepun dan dihumban dalam 1 lubang kira-kira 72 tahun lalu di Kampung Kijang, Pantai Semut Api, Kota Bahru, Kelantan.

    Pengerusi Program Pengkebumian Semula Jenazah yang dibunuh tentera Jepun (PENSEJAHTERA), Che Ku Abdul Rahman Che Ku Abdullah yang merupakan cucu kepada Penggawa Wan Embong memberitahu usaha untuk membawa balik jenazah mereka yang terkorban itu telah lama dirancang namun hanya dapat dilaksanakan Sabtu ini.

    Katanya, pembunuhan kejam itu dilihat oleh seorang saksi bernama Ismail Kandis di Kampung Che Deris Kijang, Semut Api, Kota Bahru yang kemudinnya memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga mangsa.

    “Menurut saksi, keenam-enam pejuang itu ditembak oleh tentera Jepun setelah mereka memprotes usaha tentera Jepun untuk membawa penduduk Besut ke Burma untuk membina landasan keretapi,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Seorang lagi cucu Wan Embong, Wan Abdul Ghani Wan Ibrahim, 77 memberitahu datuknya dan 5 rakannya dibawa tentera Jepun pada tahun berkenaan dan dimasukkan ke dalam penjara Kota Bahru.

    “Itulah kali terakhir isteri dan anak serta sanak saudara melihat ke enam-enam pejuang berkenaan yang dibawa lari ke luar dari Besut dengan menggunakan lori oleh tentera Jepun,” katanya.

    Ahli Parlimen Besut yang juga Menteri Pengajian Tinggi, Dartuk Seri Idris Jusoh, Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad dan Adun Kuala Besut, Che Ku Zaihan Che Ku Abdul Rahman termasuk kira-kira 500 sanak saudara pejuang berkenaan dijangka turut hadir pada majis tersebut. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " 6 mayat pejuang Besut dibunuh Jepun dikebumi semula "