• 37,092 Calon Duduki SPM 2017 Di Sarawak

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+

    KUCHING - Seramai 37,092 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 di Sarawak mula menduduki peperiksaan tersebut bermula hari ini sehingga sehingga 4 Disember depan.

    Pengarah Pendidikan negeri, Rakayah Madon berkata, daripada jumlah itu, seramai 34,544 pelajar merupakan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), 1,083 calon (Sekolah Menengah Swasta) dan 1,465 adalah calon persendirian.

    Menurutnya, kesemua calon SPM itu menduduki peperiksaan berkenaan di 263 buah pusat peperiksaan di seluruh negeri ini.

    "Kita juga telah melantik seramai 272 penyelia dan 2,087 petugas untuk memastikan kelancaran proses peperiksaan di seluruh Sarawak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Sementara itu, tinjauan Kosmo! di SMK Batu Lintang di sini mendapati enam calon pelajar pendidikan khas yang mengalami masalah penglihatan kelihatan bersemangat untuk menduduki peperiksaan tersebut.

    Seorang calon pendidikan khas, Angelie Jawan, 17, berkata, meskipun menghadapi masalah penglihatan, namun ia bukan menjadi penghalang kepadanya untuk menjawab soalan peperiksaan SPM tahun ini.

    "Saya berharap dapat memperoleh keputusan cemerlang kelak kerana ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma selepas ini," katanya. - K! ONLINE
  • No Comment to " 37,092 Calon Duduki SPM 2017 Di Sarawak "