• 30 Tembakan, 3 Terbunuh

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+

    Polis di Colorado sedang memburu seorang lelaki yang melepaskan tembakan rambang di sebuah pasar raya Walmart di Thornton, Denver, menyebabkan tiga terbunuh, hari ini.

    Menurut polis, lelaki itu berjalan masuk dengan tenang kira-kira 6 petang waktu tempatan dan melepaskan tembakan dengan pistol ke arah orang ramai dan pekerja kedai.

    Dia kemudian berjalan keluar dan menaiki sebuah kereta Mitsubishi Mirage berwarna merah meninggalkan pasar raya itu.

    Jurucakap Jabatan Polis Thornton, Victor Aliva, berkata dua lelaki maut di tempat kejadian manakala seorang wanita mati ketika dirawat di hospital.

    Menurutnya, penyerang ialah lelaki kulit putih, memakai jaket hitam, kemeja perang dan jeans biru.

    “Tiada petunjuk serangan itu berkaitan pengganas dan belum ada pihak mengaku bertanggungjawab. Namun, polis tidak menolak sebarang kemungkinan,” katanya.

    Thornton ialah bandar dengan 120,000 penduduk, kira-kira 16 kilometer di timur laut Denver.

    Menurut Avila, tiga mangsa yang maut itu berada di kawasan yang sama, di depan sebuah kedai ketika ditembak.

    Televisyen tempatan, NBC, melaporkan seorang wanita memberitahu anaknya yang berada dalam pasar raya itu terdengar kira-kira 30 tembakan.-Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " 30 Tembakan, 3 Terbunuh "