• 3 suspek singgah sebelum pulang ke Pyongyang

    Published: Wednesday, 8 November 2017
    A- A+


    SHAH ALAM: Tiga suspek lelaki masih bebas yang dikaitkan dengan kes bunuh warga Korea Utara, Kim Chol, (didakwa sebagai abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam), dikatakan keluar dari Malaysia dan singgah ke beberapa negara sebelum pulang ke Pyongyang.

    Tiga warga Korea Utara itu, Hong Song Hac atau nama samarannya Mr Chang, 34; Ri Ji Hyon atau Mr Y, 33; dan Ri Jae Nam atau Hanamori, 57, keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jakarta melalui penerbangan Lion Air sebelum singgah di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan penerbangan Emirates.

    Ketiga-tiga mereka kemudian keluar dari UAE menuju ke Vladivostok, Russia sebelum pulang ke Pyongyang.

    Seorang lagi suspek, iaitu O Jong Gil atau nama samarannya, James dikatakan mengambil penerbangan ke Kemboja sebelum berpatah balik ke Bangkok, Thailand dan meneruskan perjalanan ke Korea Utara.

    Perkara itu dinyatakan peguam Gooi Soon Seng yang mewakili tertuduh pertama, Siti Aisyah yang dicadangkan kepada saksi kesembilan pendakwaan Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA, Asisten Superintendan Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz.

    Wan Azirul Nizam bagaimanapun menjawab: "Saya tidak pasti, Yang Arif" dengan cadangan itu.

    Soon Seng turut mencadangkan bahawa semua negara yang disinggahi ketiga-tiga suspek yang masih bebas itu (kecuali bagi James) , mempunyai hubungan diplomatik dengan Korea Utara, yang dijawab saksi: "Tidak pasti".

    Sementara itu, Soon Seng mendakwa pekerja syarikat penerbangan Korea Utara Air Koryo, Kim Uk-il, dan Setiausaha Kedua Kedutaan Korea di Malaysia, Hyon Kwang Song yang dikatakan membantu semua suspek keluar dari negara ini, bersembunyi dalam bangunan kedutaan selepas pihak polis mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka.

    Soon Seng juga mencadangkan bahawa kedua-dua individu itu ditukarkan dengan sembilan rakyat Malaysia yang ditahan di Kedutaan Malaysia di Korea Utara.

    Cadangan peguam itu dijawab saksi dengan jawapan: "Tidak setuju".

    Bagaimanapun Wan Azirul Nizam bersetuju dengan cadangan peguam bahawa polis mengeluarkan waran tangkap terhadap Uk-il dan Kwang Song tetapi ia tidak dapat diserahkan kerana kedua-dua mereka bersembunyi dalam bangunan kedutaan.

    Saksi berkata, beliau tidak pasti sama ada kedua-dua lelaki itu dibenarkan pulang ke Korea Utara selepas pihak polis mengambil keterangan mereka.

    Katanya, beliau mengambil keterangan daripada Uk-il di Kedutaan Korea pada 12.15 tengah hari pada 26 Mac lalu.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 3 suspek singgah sebelum pulang ke Pyongyang "