• 240 Syor Terkandung Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2

    Published: Monday, 27 November 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Sebanyak 240 syor dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2016 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen hari ini bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil di peringkat persekutuan dan negeri.

    Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata daripada jumlah itu, sebanyak 74 syor dikemukakan terhadap aktiviti kementerian/jabatan dan badan-badan berkanun persekutuan, 36 syor (pengurusan syarikat kerajaan dan agensi kerajaan persekutuan) serta 130 syor bagi pengurusan aktiviti kementerian/jabatan/agensi dan pengurusan syarikat kerajaan negeri.

    Beliau berkata sebanyak 19 pengauditan prestasi dan lapan pengauditan pengurusan syarikat kerajaan telah dilaksanakan bagi LKAN 2016 Siri 2 itu.

    "Di peringkat negeri, 25 pengauditan prestasi dan 11 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan negeri telah dijalankan. Pengauditan merangkumi pelbagai bidang, antaranya, pengurusan program, pembinaan, penyenggaraan dan naik taraf, perolehan serta pengurusan syarikat," katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

    Katanya, laporan itu juga meliputi pengesahan penyata kewangan badan berkanun persekutuan, Kumpulan Wang Persekutuan, Akaun Amanah dan Agensi Lain, pengurusan syarikat kerajaan dan agensi kerajaan persekutuan serta penyata kewangan kerajaan negeri dan prestasi kewangan agensi bagi tahun 2016.

    Madinah berkata pada tahun 2017, Jabatan Audit Negara telah menjalankan pengauditan terhadap 145 Penyata Kewangan bagi tahun kewangan 2016 iaitu 133 badan berkanun persekutuan, 10 Kumpulan Wang Persekutuan dan Akaun Amanah serta dua agensi lain.

    Beliau berkata sebanyak 126 penyata kewangan telah diberi Pendapat Tanpa Teguran; Pendapat Tanpa Teguran dengan Emphasis of Matters (12); Pendapat Berteguran (empat) dan satu Pendapat Bertentangan, manakala dua penyata kewangan masih belum disahkan setakat 15 Sept 2017 kerana kelewatan mengemukakan penyata kewangan dan dokumen sokongan yang tidak lengkap.

    Bagi pengauditan terhadap 310 Penyata Kewangan kerajaan negeri dan agensi kerajaan negeri pula, katanya, sebanyak 287 penyata kewangan telah diberikan Pendapat Audit Tanpa Teguran.

    "Sebanyak lapan penyata kewangan telah diberikan Pendapat Audit berdasarkan 'Emphasis of Matter' dan 15 penyata kewangan pula telah diberikan Pendapat Audit Berteguran," katanya.

    Katanya, lapan penyata kewangan masih dalam proses pengauditan kerana kelewatan agensi mengemukakan penyata kewangan dan dokumen sokongan yang tidak lengkap selain baki tiga penyata kewangan masih belum dikemukakan oleh agensi kepada pihak Audit untuk pengauditan.

    Madinah berkata Jabatan Audit Negara akan memberi taklimat berhubung dengan isu-isu utama yang dibangkitkan dalam laporan tersebut kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara di Parlimen, hari ini.

    Katanya, kandungan dan sinopsis LKAN 2016 Siri 2 itu boleh dilayari dalam laman sesawang Jabatan Audit Negara di http://www/audit.gov.my mulai hari ini. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " 240 Syor Terkandung Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2 "