• 2 Lelaki Belasah Jururawat Di Sibu Ditahan

    Published: Sunday, 12 November 2017
    A- A+

    SIBU: Dua lelaki yang mencetuskan pergaduhan dengan membelasah jururawat akibat kemalangan kecil di Pasar Besar Sibu di sini, ditahan polis, semalam.

    Suspek berusia 20 dan 25 tahun itu ditahan polis di Jalan Kampung Nyabor jam 12 tengah malam semalam selepas polis menerima laporan daripada lelaki berusia 28 tahun.

    Menceritakan semula kejadian, Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zailani Amit berkata, pertengkaran bermula apabila suspek enggan membayar ganti rugi selepas mencalarkan kereta mangsa ketika berlaku kemalangan kecil jam 3 petang, kelmarin.

    Menurutnya, suspek yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol itu dikatakan membuka pintu pacuan empat roda Toyota Hilux tanpa menyedari kereta dipandu mangsa berada di tepinya.

    “Tindakan suspek itu menyebabkan pintu depan dan belakang kereta bercalar dan mangsa berhenti mahu berbincang bagi mendapatkan ganti rugi.

    “Bagaimanapun tindakan mangsa mengundang rasa tidak senang suspek yang enggan membayar ganti rugi sebaliknya terus memaki hamun mangsa.

    “Dua rakan suspek yang juga penumpang pacuan empat roda itu kemudian keluar dan terus membelasah mangsa,” katanya.

    Beliau berkata, melihat mangsa yang rebah dan berlumuran darah menyebabkan suspek cemas sebelum melarikan diri.

    Akibat kejadian itu, mangsa yang retak tangan kiri selain lebam di bibir dan kening dikejarkan ke Hospital Sibu namun stabil.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun serta didenda jika sabit kesalahan,” katanya.-myMetro
  • No Comment to " 2 Lelaki Belasah Jururawat Di Sibu Ditahan "