• 19 Ajaran Sesat Masih Aktif Di Selangor

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+

    SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenal pasti 19 daripada 39 kumpulan ajaran sesat dan menyeleweng yang masih aktif di Selangor.

    Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata jumlah kumpulan berkenaan adalah yang difatwakan sesat di negeri ini.

    Daripada 19 kumpulan itu, tiga kumpulan ajaran sesat dikesan mengancam ketenteraman awam dan negara.

    Antara ajaran yang boleh mengancam ketenteraman awam dan berbahaya kepada negara ialah ajaran Syiah yang boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam dan menolak prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah.

    "Milah Abraham pula menjalankan usaha menjadikan negara baharu dan menghasut ahli melakukan sebarang tindakan bagi mencapai objektif ajaran mereka meskipun bertentangan dengan norma masyarakat.

    "Militan Daesh merekrut anggota bagi menjalankan aktiviti keganasan," katanya ketika menjawab soalan Khasim Abdul Aziz (PAS-Lembah Jaya) di Dewan Undangan Negeri hari ini.

    Antara kumpulan ajaran sesat lain yang masih aktif ialah Ajaran Islam Jemaah, Ajaran Negara Islam Indonesia, al-Arqam, Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Junid dan Aurat Islamiah Mahmud Haji Abdul Rahman.

    Ahmad Yunus (PAS-Sijangkang) berkata, berdasarkan rekod, sebanyak 246 tangkapan dibuat tahun ini berhubung ajaran sesat.

    Katanya, jumlah berkenaan meningkat berbanding tahun lalu yang hanya membabitkan 31 tangkapan.

    "Pada 2015, kita menahan 75 individu. Usaha membanteras ajaran sesat mengambil masa panjang dan memerlukan kerjasama semua pihak.

    "Isu ini bukan perkara mudah kerana kebanjiran pendatang asing ke negeri ini yang mengamalkan ajaran sesat," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 19 Ajaran Sesat Masih Aktif Di Selangor "