• 12 PATI ditahan cuba masuk, keluar negara

    Published: Wednesday, 29 November 2017
    A- A+


    KOTA TINGGI: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Pengerang menahan 12 pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia ketika bersembunyi dalam hutan untuk menyusup keluar dan memasuki negara ini, di pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar, di sini, semalam.

    Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang, berkata pihaknya membuat dua serbuan berasingan di lokasi berkenaan dan mengesan sekumpulan manusia dipercayai warga Indonesia cuba meloloskan diri menerusi jalan tidak diwartakan.

    "Pada jam 11.30 malam, semasa lapan anggota melakukan serbuan Ops Landai dan Ops Pensura berjaya mengesan sekumpulan empat lelaki bersembunyi dalam hutan dipercayai sedang menunggu bot pancung untuk pulang ke negara asal.

    "Kira-kira sejam kemudian, pasukan serbuan berjaya mengesan empat lelaki dan empat wanita yang sedang bersembunyi di lokasi berhampiran dipercayai baharu memasuki ke negara ini.

    "Siasatan awal mendapati mereka yang berusia 30-an hingga 60-an itu mendarat menggunakan bot pancung dan tidak mempunyai sebarang dokumen," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Khon Chiang berkata, semua mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana kesalahan tidak mempunyai dokumen, selain menetap melebihi masa dan cuba keluar atau masuk menerusi jalan yang tidak diwartakan.

    Katanya, PPM akan mempertingkatkan risikan dan operasi untuk membanteras sindiket yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan migran menggunakan jalan laut.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 12 PATI ditahan cuba masuk, keluar negara "