• 12 Hotel Bertaraf Antarabangsa Dikesan Larang Pekerja Wanita Bertudung

    Published: Monday, 20 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mengenal pasti 12 hotel bertaraf antarabangsa serta lima dan enam bintang di kawasan Lembah Klang yang mengamalkan polisi larangan bertudung terhadap pekerja wanita.

    Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, beliau membuat kajian selama tiga bulan bagi mengesan kesahihan berkenaan polisi yang diperkatakan dan aduan yang dibuat pekerja hotel terlibat.

    “Saya meminta Kementerian Sumber Manusia bertindak dengan lebih agresif dalam menyelesaikan isu ini kerana aduan pernah dilaporkan kepada mereka sebelum ini.

    “Pihak kementerian tersebut boleh membuat serbuan ke atas hotel yang dilaporkan, hal ini sudah bersangkut paut dengan diskriminasi agama yang diamalkan pekerja tersebut, sekali gus me­langgar Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

    Beliau berkata, dalam kajian yang dilakukan itu, pihaknya memeriksa kontrak perkhidmatan pekerja hotel terlibat, jelas tiada polisi dan prosedur operasi standard (SOP) yang menyatakan larangan bertudung.

    “Kita bukan hendak mencari salah siapa, tetapi majikan juga perlu menghormati budaya dan agama yang diamalkan pekerja mereka.

    “Saya sangat memahami dengan prinsip dan etika bertaraf antarabangsa yang dibawa hotel tersebut, tetapi perlu ada ruang dan pilihan kepada pekerja untuk memilih kod etika pemakaian yang bersesuaian dengan masyarakat Malaysia,” katanya.

    Mohamed Shafie berkata, pihaknya akan membuat sidang akhbar untuk mendedahkan de­ngan lebih jelas berkenaan 12 hotel itu, jika pihak kementerian tidak dapat menyelesaikan isu tersebut dan tidak ada pengakuan majikan hotel terbabit.

    - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " 12 Hotel Bertaraf Antarabangsa Dikesan Larang Pekerja Wanita Bertudung "