• 11 Negara Setuju Teruskan TPP Tanpa AS

    Published: Saturday, 11 November 2017
    A- A+

    DANANG: Menteri-Menteri Ekonomi daripada 11 negara Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) hari ini berjaya memuktamadkan persetujuan untuk meneruskan perjanjian perdagangan bebas TPP tanpa Amerika Syarikat (AS).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Menteri-Menteri Ekonomi TPP, persetujuan yang dicapai ialah berhubung elemen teras Perjanjian Komprehensif dan Progresif (CPTPP) dalam pakatan perdagangan itu.

    "Menteri-menteri bersetuju dengan Senarai I dan II yang memasukkan peruntukan TPP, selain pengecualian terhad dan digantung," katanya.

    Menurut kenyataan itu, menteri-menteri bersetuju untuk mengekalkan standard TPP yang tinggi, adil dan berintegriti demi memastikan kepentingan komersial dan perkara lain untuk semua negara dan hak untuk mengawal, termasuk bertolak ansur dalam soal keutamaan ketika mahu mengadakan peraturan dan perundangan.

    Selain itu, menteri memutuskan semua surat ditandatangani (senarai tawaran) dalam kalangan 11 negara akan dikekalkan kecuali pihak terbabit memutuskan sebaliknya.

    Sementara itu, selepas tertangguh kelmarin, antaranya soal tafsiran dan bahasa, 21 Menteri Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ,akhirnya bersetuju mengeluarkan kenyataan bersama peringkat menteri ekonomi rantau itu pada hari penutup APEC, hari ini.

    Kenyataan itu, antara lain menerangkan tindakan bersama yang akan dilaksanakan oleh negara anggota untuk mengekalkan momentum kerjasama serantau dan mengukuhkan semula profil APEC sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan integrasi di Asia Pasifik.

    Tindakan itu meliputi usaha mengukuhkan integrasi ekonomi rantau, mempromosi kelestarian, pertumbuhan inovatif dan inklusif serta memperkuat perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

    Turut diberi tumpuan ialah hala tuju APEC menjelang dan pasca 2020 iaitu soal peningkatan daya saing dan inovasi, perluasan keselamatan makanan dan kemapanan pertanian sebagai maklum balas terhadap perubahan iklim.

    Mesyuarat Menteri-menteri APEC 2017 di sini, dipengerusikan bersama Timbalan Perdana Menteri Vietnam yang juga Menteri Luar, Pham Binh Minh, dan Menteri Perdagangan dan Industri, Tran Tuan Anh. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 11 Negara Setuju Teruskan TPP Tanpa AS "