• 103 tangkapan dalam Operasi Maharlika

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+


    LAHAD DATU: Sebanyak 103 tangkapan direkodkan menerusi operasi bersama Malaysia, Brunei, Indonesia dan Filipina bagi mengekang kemasukan Pejuang Pengganas Asing (FTF), Operasi Maharlika, yang diadakan dua minggu, mulai 1 November lalu.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata tangkapan itu dibuat oleh pasukan keselamatan negara dan membabitkan 10 rakyat tempatan, 37 warga Indonesia dan 56 warga Filipina.

    "Angka itu meliputi kes penyeludupan warga asing dan barang kawalan di samping pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

    "Kes disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1959/1963, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967 dan Akta Perikanan 1985," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan antara Polis Diraja Malaysia dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Pangkalan Polis Marin (PPM) Lahad Datu, di sini, hari ini.

    Yang turut hadir ialah Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din dan Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali.

    Zulkifli berkata, kejayaan operasi itu menunjukkan bahawa kerjasama empat negara itu terbukti dapat mengurangkan jenayah rentas sempadan di kawasan masing-masing.

    "Ini menunjukkan semua pihak serius dalam menangani masalah jenayah rentas sempadan di negara masing-masing.

    "Selain itu, kita berharap supaya kerjasama dengan negara Barat dapat diperkukuhkan lagi dari segi kepakaran teknologi maklumat", katanya.

    Pada 31 Oktober lalu, Malaysia, Brunei, Indonesia dan Filipina melancarkan Operasi Maharlika, operasi bersama bagi mengekang kemasukan FTF ke negara masing-masing.

    Operasi diadakan dengan kerjasama Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan bertujuan meningkatkan keupayaan pasukan keselamatan negara terbabit dalam membanteras aktiviti berkenaan.

    Maharlika dalam bahasa Tagalog bermaksud pahlawan masyarakat Filipina di Luzon, Filipina.

    Menerusi kerjasama ini, INTERPOL memberi kemudahan kepada Malaysia bagi mengakses 75 juta data individu bagi memastikan maklumat diperoleh dalam waktu nyata (real-time).

    Ia sekali gus membolehkan anggota penguat kuasa menyemak rekod jenayah individu yang diperiksa ketika dalam operasi.

    Dalam pada itu, Zulkifli berkata, masyarakat diminta memainkan peranan untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki perkara yang mencurigakan di kawasan tempat tinggal mereka.

    "Ia bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan susulan. Masyarakat tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pasukan keselamatan kerana kami memerlukan maklumat daripada orang awam.

    "Seperti kejadian yang berlaku di (insiden pencerobohan) di Tanduo (Lahad Datu), masyarakat menyalurkan maklumat dan barulah pihak keselamatan dapat bergerak ke lokasi," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 103 tangkapan dalam Operasi Maharlika "