• 10 Daripada 11 Pakej Kerja Di Bawah Kendalian LBU Mendahului Jadual

    Published: Monday, 20 November 2017
    A- A+
    Foto FB Fadillah Yusof
    KUCHING: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata setakat ini keseluruhan projek Lebuh Raya Pan Borneo 10 daripada 11 pakej kerja di bawah kendalian Lebuhraya Borneo Utara (LBU) mendahului jadual.

    Katanya fokus kini adalah kepada pakej Lundu-Sematan yang berhadapan sedikit kelewatan disebabkan masalah melibatkan tanah.

    “Bagaimanapun, saya yakin satu-satunya pakej yang sedikit terlewat ini dapat mengejar semula jadual pembinaan,” ujarnya.

    Memetik laporan Utusan Borneo, sementara itu katanya, kerja pembinaan dan menaik taraf Jalan Batu 15 di laluan Kuching-Serian dekat sini dijangka siap pada April 2018.

    Menurutnya, jalan sepanjang lapan kilometer (km) bermula dari Batu 10 ini merupakan salah satu daripada projek di bawah Lebuhr Raya Pan Borneo.

    Tambahnya lagi, setakat ini projek tersebut sepatutnya mencapai 75 peratus kemajuan tetapi disebabkan permasalahan di tapak pembinaan, berlaku sedikit kelewatan pada projek.

    “Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan tahap kemajuan projek ini meskipun berlaku sedikit kelewatan disebabkan masalah tertentu.

    “Saya telah mengarahkan kontraktor mencari jalan bagaimana mempercepatkan kerja pembinaan jalan ini dan jika tiada masalah lain timbul, jalan ini dapat disiapkan pada April tahun depan,” katanya pada lawatan mengejut ke tapak pembinaan semalam.

    Pada lawatan tersebut, Fadillah turut memberi beberapa teguran kepada kontraktor pertama untuk mereka memastikan semua program pengurusan trafik dipatuhi sepenuhnya.

    Pematuhan kepada program pengurusan trafik ini katanya, amat penting bagi memberi keselesaan kepada pengguna yang menggunakan laluan itu ketika dalam pembinaan.

    Selain masalah pengurusan trafik, pihaknya (Kementerian Kerja Raya) turut menerima aduan berlakunya banjir kilat disebabkan aliran air tersekat kesan daripada pembinaan.

    Berikutan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran, sedang mencari penyelesaian bagaimana menangani masalah itu daripada berulang. – Sarawakiana
  • No Comment to " 10 Daripada 11 Pakej Kerja Di Bawah Kendalian LBU Mendahului Jadual "