• Yusuf Azmi, Ali Salimin Mengaku Tidak Bersalah

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    KAJANG: Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhamad Yusuf Azmi bersama Ketua Operasi Unit Tindakan Khas PPIM, Ali Salimin telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, sebentar tadi.

    Dua aktivis PPIM tersebut didakwa atas dua pertuduhan iaitu melakukan khianat dan pencerobohan ke atas sebuah garaj kereta di sini pada Julai lalu.

    Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan setelah pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Nor Afidah Idris.

    Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 27 tahun dan 50 tahun itu didakwa bersubahat melakukan perbuatan khianat dengan memotong kunci pagar stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn. Bhd.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn. Bhd., Lot 1926A, Sungai Sikamat, Jalan Cheras Batu 13, Kajang sekitar jam 3.30 petang, 10 Julai lalu.

    Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Manakala bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pencerobohan jenayah di lokasi dan tarikh yang sama, pada antara 3.30 petang sehingga 7.30 malam.

    Bagi pertuduhan itu, kedua-dua aktivitis itu didakwa di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

    Memetik laporan Harian Metro, Yusuf dan Ali telah dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM5,000 setiap seorang dan pihak mahkamah menetapkan 24 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dalam kes ini telah dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Tharih Afendi. – MYNEWSHUB.CC/AM

    Subjects:

  • No Comment to " Yusuf Azmi, Ali Salimin Mengaku Tidak Bersalah "