• Yusof Apdal nafi tangkapan berunsur politik

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+
    KOTA KINABALU: Adun Umno Lahad Datu Yusof Apdal yang baru-baru ini dibebaskan daripada tahanan reman dalam siasatan dakwaan rasuah menafikan beliau terkena pemainan politik pemerintah.

    Yusof, adik kepada Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Shafie Apdal, direman 6 hari dalam siasatan ke atas dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion daripada dana pembangunan luar bandar untuk Sabah.

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dlaporkan menyiasat 72 daripada 350 projek di bawah kementerian pembangunan luar bandar dan wilayah, yang pernah diterajui Shafie.

    Yusof berkata pembangkang cuba menggambarkan seolah beliau mangsa permainan politik pemerintah untuk memenangi sokongan rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

    Yusof juga berikrar akan terus setia kepada Umno dan akan memastikan parti itu terus menjadi pilihan rakyat.

    “Saya berterima kasih kepada semua ahli Umno di Lahad Datu, terutamanya di Silam, atas sokongan moral mereka,” katanya pada sidang media hari ini.

    “Cabaran ini sama sekali tidak menggoyahkan kesetiaan pada pemimpin di peringkat negeri dan persekutuan.”

    Yusof, 57, berkata penahanan itu sebahagian daripada tatacara operasi standard SPRM.

    “Bahkan, saya berterima kasih kepada SPRM kerana melayan saya dengan baik semasa saya ditahan. Saya jatuh sakit 2 kali dan SPRM hantar saya ke hospital kerajaan untuk dirawat. Walaupun saya terpaksa menunggu, saya dirawat dengan baik.”

    Seorang lagi adik Shafie, Hamid, dan menantu Hamid, Manzur Hussein Awal Khan, direman dan kemudian dibebaskan.

    Shafie masih dalam tahanan reman. Perintah reman akan berakhir Isnin ini.

    Projek yang disiasat SPRM itu dirancang dilaksanakan antara 2009 dan 2015 di Kota Kinabalu, Kudat, Kota Belud, Ranau, Beaufort, Keningau, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan.

    RM1.5 bilion itu sebahagian daripada RM7.5 bilion yang diperuntukkan untuk projek pembangunan prasarana air, elektrik dan jalan raya.

    Kira-kira RM170 juta dalam akaun bank dan aset syarkat terlibat dalam projek itu dilaporkan sudah dibekukan.

    Ketika pemimpin pembangkang mendakwa siasatan itu bermotifkan politik untuk mencemar imej Warisan menjelang pilihan raya umum ke-14 nanti, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi dan SPRM menafikan perkara itu, dan menegaskan agensi anti-rasuah itu beroperasi secara bebas. - FMT

    Subjects:

  • No Comment to " Yusof Apdal nafi tangkapan berunsur politik "