• Yusof Apdal Bebas

    Published: Monday, 23 October 2017
    A- A+


    KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret di sini, sebentar tadi membebaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal, selepas ditahan reman sejak Rabu lalu berhubung siasatan penyelewengan dana awam di Sabah.

    Majistret Cindy Mc Juce Balitus yang membuat keputusan itu turut membenarkan Mohd Yusof dijamin RM100,000 dengan deposit RM50,000.

    Mohd Yusof, 57, yang juga adik kepada Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini pada kira-kira jam 9.40 pagi, sebelum dibawa masuk ke Mahkamah Majistret pada jam 9.55 pagi dan keluar 10 minit kemudian.

    Dua peguam mewakilinya iaitu Edward Paul dan Peter Lee manakala SPRM diwakili Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basiruddin.

    Mohd Yusof ditahan kira-kira jam 10 malam Selasa lalu di pejabat SPRM Sabah, di sini selepas hadir bagi membantu siasatan SPRM berhubung penyelewengan RM1.5 bilion dana awam untuk pembangunan luar bandar menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah antara tahun 2009 hingga 2015.

    Dia direman empat hari sejak Rabu lalu sebelum disambung dua hari lagi bermula semalam hingga hari ini.

    Jumaat lalu, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna, direman empat hari hingga hari ini dan dijadualkan dibawa ke mahkamah sebentar lagi bagi mendapatkan perintah sambung reman.

    Setakat ini, 13 individu ditahan berkaitan kes itu, masing-masing 10 di Sabah dan tiga di Putrajaya termasuk seorang lagi adik Mohd Shafie, iaitu Hamid Apdal dan menantunya yang juga ahli perniagaan berumur 33 tahun.

    Sebelum ini, SPRM menahan Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony; dan Ketua Wira parti itu, Datuk Mohd Azis Jamman; Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar; Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim dan ahli perniagaan berumur 52 tahun.

    Mereka bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

    Tiga lagi masih dalam tahanan reman iaitu seorang jurutera yang juga ahli politik Warisan Putatan berumur 47 tahun, manakala dua lagi ialah bekas Setiausaha Akhbar dan Setiausaha Politik Mohd Shafie.- BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Yusof Apdal Bebas "