• WiFi percuma di bandar raya Kota Kinabalu

    Published: Friday, 20 October 2017
    A- A+
    l

    KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman hari ini melancarkan kemudahan WiFi percuma bagi bandar raya ini iaitu 'KK City WiFi'.

    Kemudahan WiFi itu membolehkan orang ramai mengakses internet secara percuma di sepanjang Jalan Tuan Fuad Stephens iaitu dari kompleks beli-belah Oceanus hingga ke Suria Sabah.

    Ketika melancarkan kemudahan itu di sini, sebentar tadi, Musa berkata, 'KK City WiFi' bakal tambah memajukan produk pelancongan tempatan, sekali gus menaikkan imej bandar raya ini.

    "Ia juga landasan mewujudkan inisiatif awam pada masa akan datang dalam membangun serta memantapkan rangkaian digital e-kerajaan.

    "Saya yakin ia berupaya menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI), seterusnya menjadikan Kota Kinabalu mesra perniagaan dan selesa untuk didiami serta dilawati," katanya.

    Yang turut hadir ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yee Boon Hai.

    Musa berkata, pelancaran 'KK City Wifi' juga bakal menjadikan Kota Kinabalu bandar raya hab digital.

    Bersandarkan kepada teknologi dalam bandar raya pintar, pengguna boleh melakukan kerja di mana dan pada bila-bila masa.

    "Ini membolehkan masyarakat melakukan banyak perkara dalam satu masa dan sudah tentu dapat meningkatkan keberkesanan serta produktiviti negeri dan negara kita," katanya.

    Sehubungan itu, beliau meminta warga bandar raya ini, peniaga mahupun pelancong untuk mengaplikasikan sepenuhnya kewujudan 'KK City WiFi' untuk manfaat dan faedah bersama.

    Terdahulu, Salleh berkata, pelaksanaan projek diterajui Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan pihak swasta itu, seiring matlamat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam menambah baik infrastruktur komunikasi di Sabah.

    "Menerusi peluang ini, saya berharap pengusaha atau usahawan produk tempatan dan perkhidmatan di negeri ini, khususnya di Kota Kinabalu memanfaatkan rangkaian WiFi ini bagi perluasan pemasaran produk dan perkhidmatan," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " WiFi percuma di bandar raya Kota Kinabalu "