• Warga Myanmar Ditahan Bunuh Wanita Indonesia

    Published: Friday, 6 October 2017
    A- A+


    PELABUHAN KLANG – Seorang lelaki warga Myanmar, 29, ditahan susulan penemuan mayat wanita warga Indonesia, di sebuah bilik di Jalan Kem, di sini petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata mayat wanita Indonesia, 43, ditemui rakan suspek yang kemudian menghubungi polis, jam 6.33 petang.

    “Pemeriksaan polis mendapati mayat dalam keadaan terlentang dan tidak berpakaian dan ada kesan jerut di leher dengan menggunakan tali kasut.

    “Ketika ditemui, tiada kecederaan lain pada badan mangsa, malah tiada kesan pergelutan dan bilik mangsa dalam keadaan tidak berselerak.

    “Mangsa juga masih memakai gelang emas di tangan kanan dan sepasang subang emas. Motif pembunuhan masih belum diketahui dan masih dalam siasatan,” katanya.

    Shamsul Amar berkata, polis menahan seorang lelaki dipercayai kekasih mangsa bagi membantu siasatan memandangkan dia mempunyai kunci pintu bilik mangsa dan orang terakhir yang menghubunginya.

    Sementara itu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk proses bedah siasat yang akan dijalankan hari ini.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BH ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Warga Myanmar Ditahan Bunuh Wanita Indonesia "