• Wanita Rohingya Terdedah Kes Pelacuran

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+


    COX'S BAZAR: Ketika kebanyakan wanita Rohingya bergelut di kem penuh sesak di Bangladesh, mereka turut terdedah kepada perniagaan seks yang menawarkan wang tunai ketika terdesak.

    Industri seks berkembang pesat di kem Kutupalong, terbesar di Bangladesh. Kebanyakan pekerja seks adalah pelarian yang sudah lama menetap di situ.

    Empat wanita memasuki pondok lumpur bersih, menanggalkan selendang hitam sambil duduk bersila di lantai. Apabila ditanya jika mereka menawarkan seks, wanita terbabit hanya membisu.

    "Jika sesiapa tahu apa yang kami lakukan, mereka akan membunuh kami," kata Romida, 26.

    Lebih 600,000 etnik Rohingya lari daripada keganasan tentera di Rakhine, Myanmar dijangka akan merancakkan lagi perniagaan seks di kem terbabit.

    "Sekurang-kurangnya 500 pelacur Rohingya tinggal di Kutupalong. Perekrut ketika ini memerhati kumpulan yang baharu tiba," kata Noor bertindak selaku orang tengah di kem dibina sejak 1992 itu.

    Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, mereka tidak mempunyai statistik pekerja seks di semua kem untuk didedahkan kepada orang ramai.

    "Sukar menentukan angka itu dan kami tidak mengumpul data berapa ramai pekerja seks di kem terbabit," kata pakar keganasan berasaskan jantina di agensi penduduk PBB UNFPA, Saba Zariv.

    Satu laporan terkini tabung dana PBB, UNICEF berkata, dalam kem huru-hara, tidak teratur, kanak-kanak dan belia mungkin menjadi mangsa kepada penyeludup serta individu yang berhasrat mengeksploitasi serta memanipulasi mereka.

    Walaupun dianggap masyarakat konservatif Muslim, Rohingya sering kali 'menutup mata' terhadap aktiviti pelacuran.

    "Ramai berpura-pura ia tidak wujud. Gadis bertemu pelanggan Bangladesh di luar kem.

    "Mereka tidak tidur bersama Rohingya. Masyarakat kami amat konservatif dan khabar angin boleh tersebar dengan mudah. Setiap gadis mahu kelihatan suci," kata Noor.

    Ramai pelacur adalah kanak-kanak yang makan tidak lebih satu hidangan sehari, selain tidak bersekolah. Mereka melakukan aktiviti itu secara sembunyi tanpa pengetahuan ibu bapa. - Reuters/BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Wanita Rohingya Terdedah Kes Pelacuran "