• Wanita China Tawar Khidmat Urut, Seks Ditahan

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+


    KOTA KINABALU: Dua dalam satu! Itu perkhidmatan ditawarkan tujuh wanita warga China yang memujuk pelanggan untuk khidmat urutan badan dan seks di hotel.

    Kegiatan semua wanita berumur 20-an dan 30-an yang dipercayai menjadikan sebuah hotel di Asia City di sini sebagai lokasi kegiatan tidak bermoral itu, dibongkar dalam operasi 22 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Sabah, malam tadi.

    Jurucakap Jabatan Imigresen Sabah, berkata serbuan menerusi Ops Ikrar pada jam 8 malam itu menahan sembilan wanita warga China.

    Katanya, dua daripada mereka tidak memiliki dokumen sah, manakala tujuh lagi disyaki menyalahgunakan pas dengan menjalankan kegiatan tidak bermoral.

    Beliau berkata, berdasarkan risikan, tujuh wanita terbabit didapati menarik pelanggan sekitar kawasan berhampiran hotel dengan menawarkan khidmat urut.

    "Selepas dipersetujui, pelanggan dibawa ke bilik untuk urutan serta khidmat seks. Hasil pemeriksaan, pegawai imigresen menemui barang dipercayai digunakan dalam kegiatan tidak bermoral seperti kondom baharu dan terpakai serta cecair pelincir," katanya, hari ini.

    Jurucakap itu berkata, tujuh wanita yang menawarkan kegiatan tidak bermoral itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen.

    Dua lagi, katanya, untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/64 (Pindaan 2002) kerana tinggal di negara ini tanpa permit sah.

    Beliau berkata, tiada sebarang kejadian tidak diingini dan operasi berkenaan tamat pada jam 10 malam.

    "Imigresen meminta orang ramai menyalurkan maklumat jika mengetahui mengenai kegiatan tidak bermoral, khususnya membabitkan warga asing di sekitar bandar raya ini.

    "Pada masa sama, pihak kami akan menjalankan operasi seperti ini dari semasa ke semasa," katanya. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Wanita China Tawar Khidmat Urut, Seks Ditahan "