• Wajib Lulus 60 Markah Ujian Untuk Bercerai

    Published: Thursday, 5 October 2017
    A- A+


    BEIJING – Jika lazimnya sesi kaunseling diperlukan bagi mereka yang menjalani proses penceraian, namun di wilayah Yibin pula, pasangan suami isteri perlu mengambil peperiksaan penceraian!

    Menurut laporan stesen penyiaran CGTN milik pemerintah, peperiksaan pelik itu adalah hasil kajian oleh hakim Mahkamah Penduduk Yibin, Wang Shiyu selepas menyedari peratusan mereka yang bercerai sangat besar.

    Tujuan beliau adalah untuk membuat pasangan suami isteri berfikir dua kali sebelum membuat keputusan untuk mengakhiri perkahwinan mereka dan juga memberi peluang untuk mengimbas semula kenangan manis bersama.

    Wang akan mengetengahkan siri soalan bagi suami isteri yang mesti dijawab secara berasingan. Jika mereka mendapat markah kurang daripada 60, Wang akan meluluskan permohonan perceraian merka.

    Bagaimanapun sekiranya markah adalah sebaliknya yang berlaku, mereka harus terus berusaha kekal pertahan perkahwinan meskipun pasangan berkenaan tidak bersetuju dengan keputusan ditetapkan oleh Wang.

    “Niat kami adalah untuk tahu status sebenar perkahwinan pasangan. Mereka mungkin juga menilai diri sendiri dan pertimbang pasangan mereka. Selepas imbas kehidupan, mereka akan berfikiran lebih rasional,” kata Wang.

    “Sebagai wilayah yang mempunyai penduduk lebih sejuta, mahkamah di Yibin menerima ratusan kes setiap tahun. Kes perceraian membentuk peratusan yang besar. Memandangkan saya juga mempunyai keluarga dan anak apabila saya menangani kes itu, saya tidak mahu melihat pasangan bercerai secara terburu-buru,” tambahnya.

    Peperiksaan itu mengandungi tiga bahagian – ‘isi tempat kosong’, ‘soalan ringkas’ dan ‘ayat-ayat’ – dengan soalan-soalan meliputi maklumat asas seperti tarikh lahir anggota keluarga, makanan kegemaran, tarikh ulang tahun perkahwinan mereka dan juga soalan-soalan lebih mendalam seperti “Apakah tanggungjawab anda dalam keluarga ini?”, “Apakah perkara baik dan buruk yang anda lakukan?”, “Apakah maksud perkahwinan dan keluarga bagi anda?”.

    Menurut CGTN, selepas pasangan itu menyerahkan jawapan mereka, Wang akan membaca jawapan dan memberikan markah. Namun begitu – tiada sesiapa yang tahu kriteria bagaimana digunakan untuk menyemaknya dan beliau pula enggan mendedahkannya.

    Berita mengenai peperiksaan perceraian itu baru-baru ini menjadi viral di media sosial China dan mendapat respons pelbagai daripada orang ramai.

    Walaupun ada yang memuji niat Wang mencegah pasangan daripada bercerai, ada yang berpendapat itu adalah perkara peribadi dan para hakim harus memberi tumpuan kepada perkara lain seperti alimoni dan hak penjagaan anak-anak.
    – Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Wajib Lulus 60 Markah Ujian Untuk Bercerai "