• Video Ruhainies Tersungkur Dirakamkan

    Published: Thursday, 19 October 2017
    A- A+


    KEINGINAN untuk merakamkan video berlari dalam bentuk gerakan perlahan tidak berjaya apabila pelakon Ruhainies terpijak akar pokok lalu jatuh tersungkur.

    Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 25, berkata video tersebut dirakam secara tidak sengaja oleh adiknya.

    "Saya nak buat video berlari dalam gerakan perlahan. Masa saya lari itu tak nampak ada akar pokok dan menyebabkan kaki tersandung lalu jatuh.

    "Video itu diambil memang secara spontan oleh adik saya. Memang menjadi bahan gelak adik-beradik.

    "Nasib baik saya sempat tahan guna tangan masa jatuh tu. Hanya bahagian lutut sahaja yang luka,” kata Ruhainies ketika dihubungi mStar Online.

    Video Ruhainies itu telah dimuat naik di laman Instagramnya yang kini mencecah lebih 50,000 tontonan dan menerima lebih 200 komen.

    Rata-rata netizen terhibur dengan telatah dan loghat atau bahasa Utara yang digunakan pelakon Menantu Ting Tong itu.

    Menurut Ruhainies, video tersebut dirakam ketika dia singgah ke ladang teh, Cameron Highland pada Selasa lalu sebelum bercuti ke Pulau Pinang bersama keluarga pada Rabu.

    "Masa itu saya dan keluarga singgah ke ladang teh di Cameron Highland sebelum kami bertolak ke Pulau Pinang untuk bercuti.

    "Tak sangka video itu akhirnya menjadi bahan hiburan di Instagram,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Ruhainies teruja untuk bertemu dengan peminat-peminatnya dalam program mStar Online Jom santai Bersama Ruhainies dan Tajul pada Sabtu ini.

    "Saya tak sabar nak jumpa peminat pada Sabtu ni. Kali terakhir kami mengadakan acara bertemu peminat pada majlis sambutan hari lahir saya pada 16 Julai lalu.

    "Jadi untuk program Jom Santai anjuran mStar Online ni menjadi acara terakhir bersama untuk tahun ini.

    "Sebab itu saya teruja nak jumpa mereka dan katanya ada macam-macam permainan yang akan diadakan,” katanya.

    Pelbagai acara akan diatur pada majlis minum petang mStar Online yang akan diadakan di Cartel Coffee Shop, Bandar Baru, Bangi, Selangor.

    Selain dapat beramah mesra dengan artis, peminat yang turut serta akan berpeluang menyertai beberapa permainan menarik yang menjanjikan hadiah misteri.

    Dengan bayaran RM30, peserta bukan sahaja akan memperoleh baju T sumbangan mStar secara eksklusif sebaliknya beberapa hadiah daripada penaja utama, Chew N' Glow.-mStar

    Subjects:

  • No Comment to " Video Ruhainies Tersungkur Dirakamkan "