• [VIDEO] Iklan Deepavali Kelakar, Kisah Si ‘Bapa Borek Anak Rintik’

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+


    Seperti perayaan-perayaan lain yang disambut oleh rakyat Malaysia, antara perkara yang paling dinantikan netizen adalah iklan-iklan unik dan kreatif, yang menambahkan lagi keterujaan untuk meraikan satu-satu perayaan.

    Tidak kira berlainan agama atau bangsa, iklan yang dihasilkan oleh syarikat mutinasional mahupun pengurusan kecil selalunya mampu membuatkan ia dekat di hati semua, dan kali ini tiba untuk iklan Deepavali atau pesta cahaya, yang akan disambut seluruh penganut Hindu, esok.

    Berbeza dengan kebanyakan iklan raya lain yang menonjolkan nilai persabahatan, moden, kemaafan, bersatu padu dan sebagainya, filem pendek yang dihasilkan HyppInspirasi bertajuk ‘Ap Paavi’ (yang tak bersalah) juga tidak kurang hebatnya apabila menyelitkan unsur komedi dalam menyampaikan mesej kekeluargaan dan ibu bapa.

    Iklan berdurasi empat minit 30 saat itu mengisahkan kehidupan sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri yang mempunyai seorang anak bernama Ruben dan tinggal bersama ibu mereka.

    'Drama' bermula apabila si isteri yang sedang sibuk memasak dikejutkan dengan jeritan si suami yang pulang dalam keadaan marah selepas dipanggil oleh pihak sekolah bagi memaklumkan mengenai perangai anak mereka.

    Si suami menyoal cara isterinya mendidik anak mereka, sebelum si nenek muncul dan bertanya keadaan cucunya – yang disifatkan oleh si bapa sebagai terlalu memanjakan budak lelaki itu sehingga menjadi punca anaknya bermasalah di sekolah.

    Si bapa kemudian menceritakan masalah si anak selepas diberitahu oleh guru wanita, yang dilakonkan Faye Kusairy, yang antaranya menggambarkan murid itu seorang yang pandai mencari helah dan menipu.

    Dia memberi alasan patah tangan kerana tidak dapat menyiapkan kerja sekolah dan bertindak membuang penyapu sampah bagi mengelak daripada melakukan tugas membersihkan kawasan sekolah.

    Marah kerana anaknya sudah pandai menipu, si bapa sekali lagi menyalahkan isterinya yang tidak tahu mendidik anak lalu meminta rotan untuk menghukum anaknya.

    Namun, si nenek dengan selamba mengatakan semua terjadi berpunca daripada kesalahan lelaki itu yang memberi contoh tidak baik kepada anaknya – yang mana telah membuatkan si bapa dalam keadaan terpinga-pinga dan mahukan penjelasan.

    Si nenek menceritakan perbuatan tidak baik si bapa memberi alasan sakit dan menipu majikan untuk mengelak daripada pergi kerja dan perkara itu tanpa disedari dilakukan di depan anaknya.

    Insiden kedua pula diceritakan oleh anaknya apabila si bapa sekali lagi mencari helah bagi mengelak melakukan kerja rumah yang disuruh oleh si isteri.

    Segala keburukan si bapa terbongkar di hadapan keluarganya, yang membuatkan isterinya berkata: "Siap lah awak nanti."

    Si nenek dalam video tersebut pula berkata: “Ini semua angkara awak. Sebagai ibu bapa, kita kena tunjuk contoh yang baik”, sebelum membawa cucu kesayangannya beredar dari situ.

    Si bapa memberi reaksi muka seolah tidak berpuas hati: “Orang tua ni tunggu masa je nak kena halau”, tapi segalanya dilakonkan dan diterjemahkan dengan cara yang santai dan melucukan, yang membuatkan mesej tersebut begitu mudah untuk diterima penonton.

    Kebanyakan penonton terhibur dengan filem pendek itu, selain bersetuju dengan mesej tersirat yang cuba disampaikan.

    “Ibu bapa mencorak peribadi seseorang anak. Baik didikan ibu bapa, baik jugalah pendidikan anak-anak,” tulis seorang pengguna media sosial.

    Selamat Hari Deepavali kepada seluruh rakya Malaysia, Annivarakum Enggal Deepavali Nal Valtukal. - MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " [VIDEO] Iklan Deepavali Kelakar, Kisah Si ‘Bapa Borek Anak Rintik’ "