• Valencia Ratah Betis

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+

    MADRID: Valencia meneruskan permulaan hebat musim ini apabila membelasah Real Betis, 6-3 di laman lawan sekali gus melonjak ke kedudukan kedua di belakang Barcelona, dalam saingan La Liga, awal pagi tadi.

    Pada 10 minit sebelum babak pertama berakhir, Geoffrey Kondogbia memulakan detik kejayaan Valencia dengan gol pembukaan sebelum Goncalo Guedes menambah gol kedua pada minit ke-45.

    Di awal babak kedua, Real Betis dihadiahkan sepakan penalti, namun Sergio Leon gagal melakukan penyudah, sebaliknya lawan mereka terus tampil hebat dengan tambahan dua gol menerusi Rodrigo Moreno (minit ke-64) dan Santi Mina (minit ke-74).

    Valencia sepatutnya mengekalkan rentak dan tekanan selepas mendahului 4-0, namun secara tiba-tiba mereka seperti hilang arah apabila melepaskan tiga gol kepada Real Betis dalam tempoh lima minit.

    Campbell merapatkan jurang untuk Real Betis menerusi pertama pada minit ke-79, diikuti jaringan Sanabria pada minit ke-80 dan gol ketiga oleh Tello, empat minit selepas itu.

    Bagaimanapun, penjaring gol terbanyak, Simone Zaza kembali menceriakan Valencia dengan gol kelima pada minit ke-88, gol ketujuh buat dirinya untuk musim ini.

    Pemain pinjaman dari Manchester United, Andreas Perreira melengkapkan kemenangan Valencia pada masa kecederaan untuk membantu pasukannya mengumpul 18 mata, dipisahkan empat mata berbanding Barcelona.

    “Secara keseluruhannya, kami bermain dengan cukup baik ketika menentang pasukan hebat yang belum tewas di gelanggang sendiri. Di babak pertama, kami berjaya bermain dengan baik,” kata pengendali Valencia, Marcelino.

    “Sebenarnya, kami menjangkakan akan menang 4-0 tetapi kami perlu segera mengatasi apa yang berlaku pada minit ke 79 hingga 84.”-Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Valencia Ratah Betis "