• Ustaz 'Bollywood' Terkejut Dilarang Masuk Singapura

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Penceramah bebas, Haslin Baharim mengakui terkejut apabila Kementerian Dalam Negeri Singapura (MHA) mengeluarkan larangan memasuki negara tersebut dengan alasan menyampaikan ceramah yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

    Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Bollywood bagaima­napun mempersoalkan larangan tersebut malah bersedia untuk membuat permohonan maaf sekiranya terbukti bersalah.

    “Saya sudah lama tidak berceramah di Singapura, kali terakhir kira-kira setahun yang lalu, namun ketika itu tidak ada sebarang masalah.

    “Hari ini saya mendapat banyak panggil dari rakan-rakan mengenai larangan tersebut, saya mengetahui larangan itu daripada kenalan dan kecewa kerana tidak menerima apa-apa surat daripada pihak berwajib Singapura,” katanya ketika dihubungi UTUSAN ONLINE di sini hari ini.

    Larangan ke atas Haslin dilakukan hasil rundingan MHA dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Lembaga Pelancongan Singapura serta Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura.

    Mengulas lanjut katanya, beliau akan mendapatkan bantuan Wisma Putra untuk mengadakan perjumpaan dengan wakil Singapura bagi mengetahui punca sebenar kepada larangan berkenaan.

    “Saya bimbang sekiranya mereka melihat video lama atau yang telah disunting di mana-mana laman sosial. Saya minta maaf sekiranya bersalah, namun saya juga ingin melihat video tersebut yang kononnya saya memecahbelahkan masyarakat,” katanya. - UTUSAN ONLINE



    Subjects:

  • No Comment to " Ustaz 'Bollywood' Terkejut Dilarang Masuk Singapura "