• Usahawan Desa Digesa Tawan Hati Pasar Raya Global - PM

    Published: Friday, 20 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa para usahawan desa berusaha memenangi hati pasar raya utama dan berstatus global untuk mendapatkan ruang bagi memasarkan produk masing-masing, agar tidak terus kekal sebagai peniaga bertaraf kecil dan kerdil.

    Katanya, perkara itu penting agar usahawan-usahawan desa menjadi antara pemain utama di dalam rantaian perdagangan dunia, sekali gus memadamkan persepsi umum bahawa produk-produk usahawan desa tidak menepati permintaan semasa.

    Tambah Perdana Menteri, kerajaan sendiri telah memperkenalkan banyak bentuk bantuan mencecah ratusan juta ringgit kepada usahawan untuk meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan masing-masing agar menghasilkan barangan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

    "Pentingnya untuk meyakinkan pasar raya adalah mereka boleh memasarkan produk-produk usahawan di setiap rangkaian mereka. Bayangkan jika produk-produk itu turut dipasarkan ke luar negara seperti di Asia Barat.

    "Oleh itu penting kepada usahawan meningkatkan kualiti produk masing-masing untuk menawan hati jenama-jenama pasar raya termuka yang ada," katanya semasa ucapan perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD) 2017 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

    Turut hadir ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Najib turut memuji KUD 2017 kerana menjemput beberapa jenama pasar raya seperti Mydin, Tesco dan Aeon untuk mengadakan padanan perniagaan untuk mengenal pasti produk-produk usahawan desa yamg boleh diketengahkan dan dipasarkan.-UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Usahawan Desa Digesa Tawan Hati Pasar Raya Global - PM "