• Usaha Promosi Makanan Warisan Malaysia Perlu Perbelanjaan Khusus

    Published: Wednesday, 25 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR : Usaha memperkenalkan makanan warisan Malaysia ke luar negara memerlukan perbelanjaan yang khusus bagi membolehkan kerja-kerja promosi dilakukan secara besar-besaran, kata Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim.

    Beliau berkata bagi tujuan itu, pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan khasnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai keperluan tersebut supaya satu bahagian atau jabatan khas diwujudkan bagi menjalankan usaha-usaha promosi.

    "Sekiranya kita tidak ada langkah positif ke arah itu, kita akan ketinggalan (berbanding negara-negara lain). Kita tidak boleh hanya mengadakan usaha-usaha pelancongan tetapi dari segi pelancongan makanan tradisional kita tidak begitu tersohor dan langkah-langkah yang dibuat oleh McD (Mc Donald) dan pizza (Pizza Hut) jelas mengatasi kita.

    "Oleh itu, sebagai negara nusantara atau Malaysia sendiri kita perlu mempunyai satu serlahan baru menerusi makanan, seperti dikatakan oleh peribahasa antarabangsa, ?mengenal sesuatu bangsa biarlah melalui makanannya' dan ini harus kita pegang," katanya kepada pemberita.

    Beliau ditemui selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Simposium Makanan Warisan 2017 di sini hari ini, yang merupakan usahasama antara Pusat Pengajian Seni Kulinari dan Gastronomi, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dan Jabatan Warisan Negara.

    Simposium yang julung kali diadakan itu bertujuan mewujudkan kesedaran dan keprihatinan dalam kalangan warga akademik serta masyarakat mengenai kepentingan makanan warisan selain bertujuan menjadi penggerak untuk mengangkat dan memartabatkan makanan tradisi warisan Malaysia ke tahap yang tinggi.

    Terdahulu dalam ucaptamanya, Rais berkata budaya makanan warisan perlu dikembangkan seiring dengan kemajuan dunia yang terdedah kepada pelbagai unsur makanan segera.

    Menurut beliau, pengambilan makanan segera yang semakin popular serta lebih global menjadikan ia seakan-akan makanan ruji kepada generasi muda hari ini.

    "Kini trend baru adalah lebih ke arah makanan Asia lain dan kurang kepada makanan tradisional warisan bangsa.

    "Kemasukan budaya makanan asing telah menggugat kedudukan makanan tradisi, maka perlu ditekankan bahawa promosi makanan tempatan yang luar biasa boleh mewakili identiti komuniti, mengukuhkan imej tempatan dan identiti serantau, sekali gus membantu untuk mempromosikan budaya makanan tempatan serta warisan bangsa Malaysia," katanya.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Usaha Promosi Makanan Warisan Malaysia Perlu Perbelanjaan Khusus "