• Usah Pertikai Calon Siapa Boleh Menang - Presiden UPP

    Published: Wednesday, 25 October 2017
    A- A+
    KUCHING, 24 Okt (Bernama) -- Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) Datuk Seri Wong Soon Koh menggesa pemimpin dan penyokong Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyerahkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional menentukan calon untuk pilihan raya Parlimen akan datang.

    "Jangan kita bergaduh calon siapa merupakan calon boleh menang. Serahkan kepada pucuk pimpinan BN untuk membuat keputusan muktamad,"katanya kepada pemberita selepas melancarkan GDex e-Commerce Hub and Linehaul di Jalan Batu Kitang, dekat sini, hari ini.

    Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-Perdagangan Sarawak turut mengesahkan parti itu telah mengemukakan senarai calon untuk pilihan raya Parlimen akan datang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk dipertimbangkan.

    "Kami percaya calon-calon kami ialah calon boleh menang dan kami berharap mereka akan diiktiraf dan dipertimbangkan,"katanya tetapi enggan memberitahu jumlah kerusi yang disasarkan UPP dan jumlah calon dalam senarai itu.

    Status UPP adalah unik kerana ia bukan sebahagian daripada parti komponen BN tetapi pemimpinnya memegang jawatan penting dalam Kabinet negeri dan dalam kerajaan tempatan.

    Ia merupakan parti serpihan SUPP dan dalam pilihan raya negeri pada tahun lepas, calon-calon UPP bertanding sebagai calon terus BN dan memenangi kesemua empat kerusi yang ditandingi.

    Bagaimanapun UPP tidak mempunyai anggota Parlimen manakala SUPP mempunyai wakil tunggal iaitu Datuk Seri Richard Riot, yang juga timbalan presiden parti dan Menteri Sumber Manusia.

    Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian baru-baru ini mendakwa partinya sudah mendapat restu daripada kerajaan persekutuan untuk meletakkan calon di tujuh kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada parti itu.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Usah Pertikai Calon Siapa Boleh Menang - Presiden UPP "