• UPP Mahu Bertanding Pada PRU14 Di Bawah Tiket BN

    Published: Wednesday, 25 October 2017
    A- A+

    KUCHING: Parti Rakyat Bersatu (UPP) berharap para pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) memilih beberapa calon yang dicadangkan untuk mewakili gabungan itu dalam pilihan raya umum ke-14 (GE14).

    Presidennya Dato Sri Wong Soon Koh berkata kedua-dua Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dimaklumkan tentang hasrat parti untuk bertanding di bawah tiket BN dalam PRU14.

    “Keputusan itu saya letakkan di bawah bidang kuasa kepimpinan tertinggi BN kerana baru-baru ini sudah saya maklumkan perkara tersebut dalam pertemuan dengan Perdana Menteri dan Ketua Menteri.

    “Jangan pula nanti dijadikan bahan untuk menentukan siapa calon yang sesuai dan siapa calon yang mempunyai potensi untuk menang terlebih dahulu,” katanya di sini semalam.

    Memetik laporan Borneo Post, Wong berkata, ramai calon UPP sentiasa turun padang dan telah berusaha keras bagi memenuhi keperluan rakyat.

    "Kami berharap calon-calon yang dicadangkan boleh dicam oleh para pemimpin BN dan berupaya menang di bawah tiket BN.

    "Buat masa ini, kita meninggalkan keputusan tersebut kepada Ketua Menteri dan kepada Perdana Menteri kita," katanya.

    Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua bagaimanapun, enggan mendedahkan sebarang nama kepada pihak media.

    Bagaimanapun, pakar politik percaya UPP sedang memancing beberapa kerusi yang secara tradisinya diperuntukkan kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), terutama kerusi majoriti kaum Cina.

    Kerusi yang diperuntukkan kepada SUPP adalah Kuching, Sibu, Stampin, Miri, Sarikei, Lanang dan Serian.

    UPP dianggap sebagai salah satu parti politik terkini di Sarawak. Ditubuhkan pada tahun 2014, parti tersebut adalah pro-BN.

    UPP juga merupakan cabang Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), dibentuk berikutan perselisihan antara pemimpin parti yang tidak dapat diselesaikan. - Sarawakiana
  • No Comment to " UPP Mahu Bertanding Pada PRU14 Di Bawah Tiket BN "