• Upin & Ipin duta animasi di China

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+


    SHAH ALAM: Kementerian Pelancongan optimis siri animasi terkenal Upin & Ipin bakal menembusi pasaran China sekali gus menarik kehadiran lebih ramai pelancong dari negara itu.

    Menterinya, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata, ia berikutan reaksi positif oleh pemimpin di beberapa wilayah republik itu yang menunjukkan minat dengan watak si kembar berkenaan dalam satu pertemuan bersama delegasi Malaysia di Shanghai, Julai lalu.

    Pada masa sama, beliau berkata, kementeriannya mengagumi usaha dan pencapaian Les' Copaque Production (LCP) sebagai pemegang harta intelek Upin & Ipin sejak 2005.

    "Memang bukan mudah untuk memasuki pasaran China, namun kita yakin mampu melakukannya bermula tahun depan berikutan animasi itu bukan saja mendapat tontonan tinggi di YouTube, malah sebuah taman tema turut dirancang dibuka di republik berkenaan.

    "Pertemuan antara delegasi kementerian dengan beberapa pembesar wilayah itu dianggap langkah awal bagi mempromosikan Upin & Ipin, sekali gus nama Malaysia yang turut mempunyai kebudayaan dan keunikan tersendiri," katanya.

    Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi lawatan khas di pejabat LCP di sini, dan menyerahkan sijil pelantikan Duta Pelancongan Malaysia kepada watak animasi itu, hari ini.

    Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Rashidi Hasbullah dan Pengarah Urusan LCP, Burhanuddin Md Radzi.

    Pelantikan itu sekali gus menjadikan Upin & Ipin sebagai duta animasi pertama di negara berbanding 11 individu lain sebelum ini.

    Selain itu, Nazri berkata, beliau yakin pelantikan itu mampu menarik kehadiran pelancong asing dari negara ASEAN, terutama Indonesia yang sememangnya peminat utama siri animasi berkenaan.

    "Selain China, kami difahamkan bahawa pelancong dari Amerika Syarikat dan India turut berminat dengan animasi itu, sekali gus menunjukkan bahawa Malaysia bukan hanya dikenali dengan durian semata-mata.

    "Justeru, kami akan sentiasa bekerjasama dengan LPC yang seolah-olah memberi 'tongkat' kepada kementerian untuk mempromosikan pelancongan negara. Tidak salah juga jika kita menggunakan slogan 'Malaysia, Land of Upin & Ipin' ," katanya.

    Nazri berkata, pihaknya turut menyokong penuh Karnival Upin & Ipin yang dijadualkan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada 24 November ini.

    Sementara itu, Burhanuddin berkata, pihaknya akan menjalankan perbincangan lanjut dengan wakil pemimpin China dan China Central Television (CCTV) untuk menjalinkan kerjasama strategik.

    "LCP amat berharap pembinaan Taman Tema Upin & Ipin di Xian itu dapat direalisasikan kerana kami mahu memberi impak yang besar dalam dunia animasi seperti Walt Disney," katanya. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Upin & Ipin duta animasi di China "