• Universiti Dayak Atau Rumah Dayak?

    Published: Thursday, 12 October 2017
    A- A+

    Politik Malaysia hari ini sudah tidak memperdulikan sensitiviti yang boleh menjejaskan perpaduan yang diamalkan selama ini. Hanya kerana nak dapat sokongan politik, perkauman disentuh tanpa memikir kesan terhadap keamanan negara yang sekian lama dikecapi bersama kaum lain selama ini.

    Memang tidak dinafikan menegakkan kaum adalah satu keutamaan tetapi ia haruslah dilakukan seperti kata pepatah ' menarik rambut dalam tepung, tepung tidak berselerak, rambut tidak putus. Segalanya harus berhati-hati tanpa menjejas perasaan kaum lain. Ini kerana negara ini memiliki pelbagai kaum yang menjadi warga dan mempunyai peranan untuk memajukan negara tercinta ini.

    Namun, ketaksuban dalam politik, ada pemimpin politik yang tidak memahami situasi hidup dalam negara majmuk. Berlagak hero memperjuangkan bangsa tetapi tidak kena pada tempatnya. Seolah bercakap dan menidakkan kewujudan bangsa lain. Setiap kali membuat kenyataan pasti bangsa ditekan walhal apa yang dinyatakan sebenarnya tidak mampu menyatukan bangsa sendiri, apatah lagi untuk memajukan.

    Pemimpin PBDSB akhir-akhir ini sering menimbulkan kenyataan berkenaan bangsa khususnya kaum Dayak ( Iban) walhal kenyataan menyentuh bangsa dilihat hanya untuk meraih sokongan politik.

    Seperti kenyataan meminta kerajaan mewujudkan Universiti untuk Dayak. Apakah relevennya cadangan tersebut dalam masyarakat Majmuk? Sedangkan bukan universiti untuk kaum yang menjadikan bangsa itu berjaya tetapi usaha bangsa itu sendiri untuk memajukan diri adalah asas utama.

    Malah ketika ini sudah ada Universiti yang mengutamakan Bumiputera termasuk Dayak, itu pun sudah dianggap rasis oleh segelintir pihak.

    Sepatutnya pemimpin PBDSB lebih mengutamakan perpaduan kaum Dayak itu sendiri daripada mempersoalkan kaum dalam Malaysia. Lihat sahaja kaum lain di Malaysia amnya dan Sarawak khasnya, berlumba memajukan diri dan memupuk kesepakatan kaum sendiri sehingga berjaya mewujudkan kekuatan. 

    Kaum Bidayuh contohnya tidak banyak berbicara tetapi lebih banyak berusaha dan mencipta kejayaan. Bahkan berjaya membina mercu tanda kesepakatan Bidayuh dengan terbinanya Dewan Dayak Bidayuh National Association (DBNA). Kaum Bidayuh mungkin kurang dominan dalam politik, sebaliknya Bidayuh jauh lebih menonjol dalam bidang akademik dan ekonomi.

    Daripada pemimpin PBDSB hanya vokal memperjuangkan Universiti Dayak ada baiknya PBDSB mengajak kaum Dayak Iban memulakan pembinaan Bangunan Rumah Dayak yang tidak pernah siap dan terbengkalai selama lebih 27 tahun. Kerana itulah mercu tanda kekuatan kaum Dayak Iban itu sendiri dalam membuktikan ia benar-benar bersatu.

    Kehebatan tidak terletak pada bagaimana hebat anda komen di media sosial, tetapi berapa banyak kejayaan yang kita mampu cipta dalam hidup ini. Adakah kita mampu bersaing dibawah langit terbuka, atau sekadar saban hari menyalahkan orang lain atas kelemahan diri.

    Ini bukan zaman untuk bercakap tentang keris, parang, tombak atau sumpit sebagai penentu kejayaan bangsa. Sebaliknya inilah zaman dimana maruah sesuatu bangsa terletak pada kemajuan yang mampu dicapainya. – Abdul Halim Jantan

    Subjects:

  • No Comment to " Universiti Dayak Atau Rumah Dayak? "