• Ujian Pyongyang Jejas Industri Penerbangan

    Published: Wednesday, 25 October 2017
    A- A+

    TAIPEI: Ujian peluru berpandu Korea Utara mencetuskan kebimbangan kepada syarikat penerbangan yang beroperasi di seluruh Asia Pasifik.

    Menurut seorang eksekutif industri, ujian itu menyebabkan mereka terpaksa melaksanakan penilaian risiko dan mengubah sesetengah laluan penerbangan.

    "Masalah dengan Korea Utara ialah mereka tidak memberi notis awal. Ia membimbangkan. Serpihan peluru berpandu mungkin tersebar dan memberi kesan kepada kami.

    "Semua pihak terpaksa melaksanakan penilaian risiko dan ia menyebabkan laluan penerbangan awam terjejas," kata Pengarah Urusan Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik, Andrew Herdman, pada persidangan tahunan industri, di sini.

    Peningkatan ujian peluru berpandu tentera dan pelancaran pesawat angkasa lepas awam memaksa industri penerbangan melaksanakan risiko penilaian lebih kompleks mengenai ruang udara.

    Insiden membabitkan pesawat Malaysia Airline MH17, yang ditembak peluru berpandu di Ukraine pada 2014, adalah antara contoh yang jelas.

    "Kita bercakap mengenai konflik ruang udara. Pengawal selia anda mungkin memberitahu anda tidak boleh terbang dalam kawasan itu. Mereka mungkin mengatakan anda boleh terbang di atas ketinggian tertentu.

    "Syarikat penerbangan individu akan membuat penilaian sendiri. Ia adalah penilaian risiko yang kompleks dan industri perlu sentiasa berhati-hati," katanya.

    Herdman berkata, syarikat penerbangan tidak menerima amaran untuk melencongkan laluan penerbangan apabila peluru berpandu Korea Utara dikesan tentera.

    "Tentera mungkin berkomunikasi antara satu sama lain. Mereka berupaya memaklumkan kami mengenainya apabila ia berlaku. Namun, pengumuman itu mengambil masa yang agak lama," katanya. - REUTERS

    Subjects:

  • No Comment to " Ujian Pyongyang Jejas Industri Penerbangan "