• UiTM ke-158 terbaik di Asia

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+

    SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) melonjak 23 tangga untuk menjadi universiti ke-158 terbaik Asia melalui laporan Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Rankings 2018.

    Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, berkata, laporan penarafan itu juga menyenaraikan UiTM antara 1.3 peratus universiti teratas di Asia.

    Katanya, UiTM konsisten dalam menunjukkan peningkatan kedudukan dan secara keseluruhannya melonjak 43 tempat sejak 2013 dan 2014.

    "Mengambil kira ada kira-kira 11,900 universiti di seluruh Asia, ia pencapaian membanggakan buat UiTM dan negara. Jika dibandingkan dengan laporan 2017, UiTM menunjukkan peningkatan markah dalam

    tujuh daripada 10 penunjuk utama yang diambil kira oleh penarafan berkenaan.

    "Antara penunjuk utama yang menunjukkan peningkatan adalah reputasi majikan iaitu

    55.7 markah tahun ini, berbanding 44.8 markah bagi 2017, sekali gus meletakkan UiTM pada kedudukan ke-82 di Asia berbanding ke-114 bagi 2017.

    "Ini menunjukkan tahap kebolehpasaran tinggi graduan UiTM dan kepercayaan pihak industri bahawa graduan universiti ini berkualiti tinggi dengan memenuhi keperluan skil dan pengetahuan masa kini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Hassan berkata, pencapaian itu juga selaras dengan laporan Penarafan Kebolehpasaran Graduan Dunia QS 2018 (QS World Graduate Employability Rankings 2018) dikeluarkan baru-baru ini yang menyenaraikan UiTM adalah antara 500 Institut Pengajian Tinggi Dunia (kedudukan 301-500) dan antara tiga terbaik di Malaysia.

    Selain reputasi majikan, katanya, dua lagi penunjuk utama yang meningkat ialah kertas penyelidikan ahli akademik dan reputasi akademik.

    Katanya, penambahan purata bilangan penerbitan saintifik bagi setiap ahli akademik dan peningkatan produktiviti penyelidikan oleh Institut Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (IRMI) di UiTM menyumbang kepada peningkatan kedudukan di tangga ke-266 berbanding ke-278.

    "Pada masa sama, ahli akademik UiTM perlu terus meningkatkan aktiviti pemerolehan geran penyelidikan sama ada dari dalam negara mahu pun antarabangsa, serta memberi fokus lebih kepada penyelidikan berimpak tinggi.

    "Ia bagi membolehkan hasil penulisan berkaitan dijadikan rujukan oleh ahli akademik dalam dan luar negara.

    "Peningkatan kedudukan reputasi akademik sebanyak enam tangga kepada kedudukan ke-107 terbaik Asia ini mencerminkan persepsi baik ahli akademik dari seluruh dunia untuk menjadikan UiTM sebagai

    pilihan bagi menjalankan kolaborasi penyelidikan.

    "Sebagai universiti komprehensif yang menempatkan lebih daripada 165,000 pelajar, UiTM memandang peningkatan yang membanggakan ini pemangkin dalam usaha untuk terus mendidik pelajar dengan berpaksikan visi dan misi UiTM.

    "Ia merangkumi menghasilkan graduan Bumiputera holistik dan seimbang yang seterusnya mampu memenuhi tuntutan pasaran pekerjaan tempatan dan global.

    "Selain itu, graduan UiTM juga sentiasa diberi penekanan kepada aspek inovasi dalam keusahawanan supaya mereka juga mampu untuk menjadi pencipta kerjaya pada masa depan," katanya.

    Hassan berkata, UiTM sudah mengenal pasti dan menjalankan pelbagai langkah strategik bagi memastikan peningkatan lebih baik dalam laporan 2019.

    Katanya, antara strategi akan dilaksanakan adalah menjalankan kempen keterlihatan UiTM supaya lebih menyerlah dalam kalangan ahli akademik dunia.

    Selain itu, beliau berkata, UiTM akan melebar luas hubungan strategik dengan pihak industri bagi mendapatkan maklum balas dan input secara langsung terhadap pembangunan akademik UiTM bagi membantu memastikan kurikulum yang dihasilkan lebih dinamik.

    Katanya, ia bagi melahirkan golongan profesional Bumiputera yang dapat mengisi pelbagai bidang kritikal di peringkat nasional dan seterusnya mempertingkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi Malaysia.

    "Tahniah kepada seluruh warga UiTM atas sumbangan ke arah mencapai kejayaan dalam penarafan ini.

    "Peningkatan membanggakan ini adalah gambaran sebenar kualiti terbaik di UiTM. UiTM akan terus komited untuk bergerak lebih maju bagi memacu institusi ini untuk sentiasa menjadi antara universiti terbaik negara," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " UiTM ke-158 terbaik di Asia "