• Uber Perlu Raih Semula Kepercayaan TfL Untuk Beroperasi Semula Di London

    Published: Wednesday, 4 October 2017
    A- A+


    LONDON - Pengendali pengangkutan ibu kota Transport for London (TfL) berkata Uber perlu meraih semula kepercayaannya dalam tempoh beberapa minggu selepas beberapa pegawai kanan pengendali pengangkutan ibu kota itu bertemu dengan ketua eksekutif baharu syarikat berkenaan, lapor agensi berita China Xinhua yang memetik laporan media tempatan.

    Pertemuan itu susulan keputusan TfL menamatkan lesen Uber untuk beroperasi in London berikutan isu keselamatan.

    Jurucakap syarikat yang menawarkan aplikasi memanggil teksi itu berkata pertemuan tersebut adalah "konstruktif" dan ia berharap dapat mengadakan lebih banyak perbincangan.

    TfL pula berkata perbincangan "berkisar kepada apa yang perlu dilakukan bagi memastikan pasaran bagi pengangkutan teksi dan kereta sewa berkembang dengan pesat di London".

    "Langkah seterusnya dalam proses ini akan berlaku dalam tempoh beberapa minggu akan datang," kata kedua-dua pihak.

    Mereka berkata tidak ada resolusi segera terhadap aduan suruhanjaya pengangkutan meskipun pertemuan itu menunjukkan kesediaan Uber untuk bekerjasama dengan pengawal selia.

    Terdapat beberapa tanda kemajuan pada pertemuan lewat petang itu di London, meskipun berdepan tekanan masa.

    Jika perbincangan itu gagal, Uber mempunyai tempoh sehingga 13 Okt untuk merayu keputusan tersebut atau diharamkan sama sekali beroperasi di bandaraya berkenaan.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Uber Perlu Raih Semula Kepercayaan TfL Untuk Beroperasi Semula Di London "