• Tutup Gerai Kerana 'Cik Siti'

    Published: Sunday, 29 October 2017
    A- A+

    PETALING JAYA: Kehadiran tetamu tidak diundang di salah satu gerai di medan selera sebuah pusat beli-belah di sini mengakibatkan pengusaha premis itu terpaksa menanggung kerugian apabila operasinya dihentikan serta-merta pada petang Sabtu.

    Kurang 30 minit selepas kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 3.45 petang itu, pekerja di gerai itu mula memunggah semua makanan untuk hidangan Yong Tau Foo selepas diarahkan pihak pengurusan medan selera itu.

    Tindakan proaktif itu diambil sebaik pekerja di gerai itu memaklumkan mengenai kehadiran seekor tikus yang berkeliaran di rak makanan premis berkenaan.

    Pihak pengurusan Food Republic di pusat beli-belah One Utama ketika dihubungi mStar Online memberitahu, tindakan sementara itu diambil bagi memastikan kebersihan dan keselamatan makanan dipatuhi pemilik gerai.

    "Semua makanan yang terdapat di gerai terbabit sudah dibuang dan setiap permukaan termasuk peralatan dan perkakas dapur dicuci serta dinyahjangkit (disinfected).

    "Barangan yang diletakkan di atas bekas pameran adalah 'model makanan akrilik' yang bukan untuk dimakan atau dijual," jelasnya mengenai operasi gerai pertama di laluan masuk medan selera itu.

    Keadaan premis yang telah melalui proses pembersihan awal.
    Susulan kejadian itu juga, menurut pihak pengurusan medan selera itu, syarikat yang menjalankan perkhidmatan pembersihan bagi Food Republic akan menjalankan kerja-kerja pembersihan intensif ke atas semua gerai jualan yang terdapat di medan selera tersebut.

    Difahamkan, kerja-kerja penghapusan haiwan perosak yang juga dikenali sebagai 'cik siti' itu dilakukan setiap dua minggu sebagai mematuhi piawaian prosedur operasi (SOP) yang diamalkan Food Republic, manakala rutin pembersihan biasa pula dilakukan pada setiap hari.

    Terdahulu, seorang pelanggan yang mendakwa berada di lokasi kejadian telah mengirimkan beberapa gambar berhubung insiden itu kepada mStar Online.

    "Pihak kami ingin memohon maaf di atas ketidakselesaan yang berlaku dan berharap agar kejadian ini tidak berulang pada masa akan datang," katanya.


    Semua makanan yang disediakan di gerai terbabit dibuang untuk tujuan pembersihan.
    Insiden yang didakwa berlaku kira-kira pukul 3.45 petang itu mengejutkan pengunjung yang sedang menikmati hidangan petang.

    Kejadian itu didakwa mula disedari oleh dua pekerja di gerai terbabit yang menjerit setelah melihat tikus tersebut berada di bahagian penyediaan makanan.

    Pelanggan tersebut berkata, dia ingin memaklumkan mengenai insiden itu kerana khuatir ia menjejaskan tahap kebersihan makanan di gerai berkenaan.

    Melalui gambar yang dikirimkan, kelihatan seekor tikus berada di atas makanan jenis yong tau fu yang disediakan sebelum ia bergerak berulang kali di permukaan makanan yang disediakan gerai itu.-mstar

    Subjects:

  • No Comment to " Tutup Gerai Kerana 'Cik Siti' "