• Turki Gantung Perkhidmatan Visa Bukan Imigran Di AS

    Published: Monday, 9 October 2017
    A- A+


    ANKARA – Turki pada Ahad mengumumkan menggantung semua perkhidmatan visa bukan imigran di kedutaan negara itu di Washington, Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita China Xinhua.

    “Kejadian baru-baru ini, memaksa Turki menilai semula komitmen kerajaan AS berhubung keselamatan kakitangan dan pejabat kedutaan.

    “Langkah itu, bagi mengurangkan bilangan pelawat ke kedutaan dan konsulat, sementara menunggu pihak kedutaan membuat penilaian,” menurut kenyataan kedutaan yang dimuat naik dalam Twitter.

    Terdahulu, Xinhua melaporkan AS turut mengambil langkah sama menggantung semua perkhidmatan visa bukan imigran di Kedutaan AS di Ankara.

    Ia berikutan pekerja tempatan Konsulat AS di Istanbul, Metin Topuz ditahan pihak berkuasa Turki pada 4 Oktober lepas kerana dituduh menjadi pengintip dan didakwa mempunyai kaitan dengan pendakwah yang berpangkalan di AS, Fethullah Gulen.

    Gulen, bekas sekutu Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, kini menetap dalam buangan di AS sejak 1999 dan dituduh menjadi dalang percubaan rampasan kuasa di Turki pada 15 Julai 2016 yang mengorbankan seramai 249 orang.

    Penahanan itu dikecam Kedutaan AS di Turki sambil menyatakan tuduhan terhadap pekerja itu adalah “tidak berasas” dan Washington merasa terancam dengan tindakan itu. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Turki Gantung Perkhidmatan Visa Bukan Imigran Di AS "