• Tun M Perlu Mohon Maaf

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad didesak memohon maaf secara terbuka kepada semua masyarakat Bugis atas kenyataan biadabnya yang mengatakan bangsa itu sebagai lanun.

    Bekas Presiden Persatuan Komuniti Bugis Sabah, Datuk Osman Jamal, berkata kenyataan dibuat bekas Perdana Menteri itu amat mengecewakan dan menyinggung ramai pihak.

    Beliau yang sudah 31 tahun menerajui persatuan itu berkata, jika tiada permohonan maaf terbuka dibuat oleh Dr Mahathir, maka pihaknya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis.

    "Saya sudah melihat video ucapan itu. Sebagai seorang Melayu keturunan Bugis, kenyataan itu sangat mengecewakan.

    "Beliau sendiri selalu mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa hormat menghormati antara satu bangsa dengan yang lain.

    "Malah, tindakan menghina bangsa seorang pemimpin tidak harus dilakukan demi perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

    "Jika beliau enggan memohon maaf, maka segala rasa hormat kami kepada beliau sudah tiada," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

    Dr Mahathir ketika berucap pada himpunan Anti-Kleptokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya pada Sabtu lalu mengatakan; "Mungkin kerana dia (Datuk Seri Najib Razak) berasal dari lanun Bugis. Entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis".

    Sementara itu, Penaung Persatuan Melayu Bugis Selangor Daerah Sepang, Tengku Datuk Prof Dr Jamaluddin Tengku Mahmud Shah Al-Haj, menuntut Dr Mahathir supaya menarik semula kenyataan yang dibuatnya dan mengakui kesilapannya berhubung masyarakat bangsa Bugis.

    Kenyataan Dr Mahathir itu, katanya, merendahkan ilmu pengetahuannya yang membawa kepada keruntuhan sifat sebagai seorang pemimpin yang berwibawa.

    "Kenyataan itu adalah satu penghinaan kepada bangsa Bugis dan secara tidak langsung memperlihatkan Tun Mahathir telah menjatuhkan kredibilitinya sebagai seorang pemimpin yang unggul dan tokoh negarawan.

    "Penghinaan ini tidak boleh diterima sama sekali dan tidak boleh sama sekali mengaitkan kepemimpinan itu atas faktor keturunan.

    "Saya percaya Dr Mahathir sendiri sedar, kalau tidak kerana kehadiran dan pembabitan Opu Bugis Lima Bersaudara yang Gagah Perkasa iaitu; Daeng Parani, Daeng Marewah, Daeng Chelak, Daeng Menambung dan Daeng Kemasi dalam kancah politik Melayu di Johor, Linggi (Negeri Sembilan), Selangor, Perak, Kedah (Semenanjung Tanah Melayu), Matan, Sambas dan Mempawah (Kalimantan Barat) sekitar 1721, takkan wujud sebuah Empayar Kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tun M Perlu Mohon Maaf "