• Tuduh Wan Azizah Sokong Hudud, Dakwaan PBDSB Tidak Berasas - Baru

    Published: Wednesday, 18 October 2017
    A- A+

    Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian menyangkal dakwaan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Cobbold John yang menyatakan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyokong perlaksanaan hudud di negara ini.

    Memetik laporan The Borneo Post, Baru berkata kenyataan yang dibuat oleh Cobbold John secara langsung telah memperlihatkan Pakatan Harapan (PH) seolah-olah menyokong konsep negara Islam.

    "Cobbold John harus memeriksa fakta-fakta sebelum cuba untuk mengelirukan orang ramai dengan membuat dakwaan yang tidak berasas. Beliau sepatutnya tahu bahawa salah satu sebab Parti Islam Se-Malaysia (PAS) meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) adalah kerana pendirian PAS terhadap RUU355 hudud yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen.

    "Malah Datuk Seri Wan Azizah telah menyatakan bahawa ia adalah hak mana-mana Ahli Parlimen untuk mengemukan rang undang-undang tetapi pada masa yang sama beliau telah menyatakan bahawa Ahli Parlimen PKR tidak menyokong rang undang-undang jika ia dibahaskan." katanya.

    Baru Bian menambah, bagi PKR Sarawak, mereka tegas menentang hudud dan cubaan pihak tertentu seperti PAS dan UMNO untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam. - Sarawakiana
  • No Comment to " Tuduh Wan Azizah Sokong Hudud, Dakwaan PBDSB Tidak Berasas - Baru "