• Tradisi Masak Bubur Asyura Masyarakat Melayu

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+

    MELAKA – Bubur Asyura sinonim dengan tanggal 10 Muharram dan sudah menjadi kebiasaan sesetengah masyarakat Melayu di negara ini untuk memasak makanan ini secara bergotong-royong.

    Bagaimanapun, penyediaan bubur Asyura ini dari segi ramuannya mungkin berbeza bagi kalangan masyarakat Melayu di bahagian selatan, pantai timur atau utara negara ini.

    Bubur Asyura, berasal dari perkataan Arab “asyarah” bererti kesepuluh”. Hari Asyura pula sering dikaitkan dengan kisah Nabi Nuh dengan kaumnya selepas berakhir peristiwa banjir besar dan baginda mengarahkan supaya dimasak makanan menggunakan apa sahaja bijian yang ada.

    Semasa penulis membesar di Kampung Chekok, Pulai Chondong, Kelantan, iaitu sekitar dalam darjah empat sekolah rendah, aktiviti memasak bubur asyura yang dijalankan secara gotong-royong oleh kariah Masjid Dalam Kerawat sememangnya amat dinanti-nantikan.

    Justeru, setiap kali datangnya 10 Muharram, maka terkenanglah kembali memori indah mengenainya yang masih segar dalam ingatan.

    Apabila bubur Asyura hampir masak, ia mula bertukar kepada warna kehitaman dan menjadi lebih pekat. ketika itu penulis bersama rakan yang lain mula mencari tempurung kelapa yang dialas dengan daun pisang untuk dijadikan sebagai mangkuk dan daun nanas untuk dijadikan sudu.

    Keenakan rasa bubur Asyura yang masih panas dimakan dalam tempurung kelapa beralaskan daun pisang dan bersudukan daun nanas semestinya pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan buat selamanya.

    PELBAGAI VERSI BUBUR ASYURA

    Walaupun mempunyai bahan asas seperti bawang, beras dan kacang hijau, bubur Asyura di setiap negeri adalah berbeza mengikut citarasa masyarakat setempat dan bahan yang boleh didapati di kawasan itu.

    Mohd Jazlan Salleh, 40, yang berpengalaman memasak bubur Asyura sejak zaman remajanya berkata keistimewaan bubur Asyura Kelantan terletak pada rempahnya.

    Tambah beliau, rempah berkenaan hanya dijual sekali setahun iaitu pada setiap bulan Muharam dan hanya terdapat di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan sahaja.

    Beliau yang ditemubual Bernama berkata antara bahan yang diguna untuk membuat bubur Asyura versi Kelantan yang berwarna coklat kehitaman ialah keledek, labu, jagung, kacang hijau, bawang, serai, halia, lengkuas, lada hitam, rempah khas dari Kelantan dan daging lembu atau ayam.

    Manakala bubur Asyura di Melaka dan beberapa tempat di Johor berbentuk cair seperti bubur lambuk dan mengandungi pelbagai jenis bahan seperti kekacang, sayuran, daging dan bijirin.

    Bagi penduduk di negeri Utara pula, bubur Asyura biasanya berwarna seakan cokelat kerana penggunaan gula melaka dan likat. Bubur ini perlu dihasilkan daripada 10 bahan, jika tidak cukup bahan atau terlebih maka ianya tidak boleh dipanggil bubur Asyura.

    “Bezanya bubur Asyura di Kelantan ini selain bahan dan warna, ia agak kenyal seperti dodol walaupun namanya bubur, bubur Asyura Melaka dan negeri lain berbentuk cair seperti bubur biasa,” kata Mohd Jazlan.

    MASAK BUBUR

    Menceritakan proses memasak bubur itu, Mohd Jazlan berkata bahan membuat bubur Asyura biasanya disediakan pada sebelah malam dan ia akan dimasak selepas subuh bermula pukul 7.00 pagi hingga ke petang.

    “Proses memasak bubur Asyura mengambil masa yang agak lama iaitu antara tujuh hingga lapan jam dan proses mengacau bubur Asyura adalah seperti proses mengacau dodol,” katanya.

    Seorang lagi yang berkongsi pengalaman mengacau bubur Asyura pada zaman remajanya ialah Noor Azmi Hamdan, 53, seorang penjawat awam berasal dari Merlimau, Jasin.

    Beliau dan rakan-rakannya akan ternanti-nanti ketibaan hari Asyura kerana sambutan itu hanya dilakukan sekali setahun.

    “Saya masih ingat lagi aktiviti memasak bubur Asyura yang dilakukan di Masjid Merlimau Pasir. Ia bermula pada pukul 10.00 pagi dan bubur itu mula masak sebelum masuk waktu solat Zohor.

    “Pada masa itu ramai penduduk kampung hadir bergotong-royong memasak bubur Asyura dalam kawah besar. Biasanya kaum wanita akan melakukan kerja menyediakan bahan untuk memasuk bubur Asyura seperti menghiris bawang, mencarik daging, membasuh beras dan menyediakan santan,” katanya.

    Menurut Noor Azmi, golongan lelaki pula menyediakan kayu api dan mengacau bubur Asyura. Pada awalnya, ramai yang bergilir-gilir mengacau bubur kerana pada ketika itu kerja mengacau bubur masih ringan dan mudah kerana hanya bahan asas seperti air, santan kelapa, jagung, kacang kuda, beras dan lain-lain lagi.

    “Namun apabila bubur Asyura itu mula menjadi pekat, pada waktu inilah ramai yang menghilangkan diri kerana mengelak mengelak kacau bubur yang pekat,” katanya tersenyum panjang mengimbau kembali kenangan mengacau bubur Asyura pada zaman remaja.

    Kata beliau, bubur Asyura mengambil masa panjang untuk masak bergantung kepada ramuan yang digunakan diantara dua hingga empat jam.

    BUBUR ASYURA TAHAN LAMA

    Maznah Awang, 61, yang telah berpuluh tahun menyertai acara memasak bubur Asyura mempunyai kaedah sendiri untuk memastikan bubur berkenaan boleh tahan lama.

    Menurut beliau, sebaik-baiknya bubur itu dipotong empat segi dan disusun di atas talam beralaskan plastik atau daun pisang dan dijemur beberapa hari sehingga benar-benar kering seperti proses membuat agar-agar kering.

    “Kalau dijemur tidak kering nanti bubur Asyura akan berlendir dan boleh menyebabkan perut sakit jika dimakan,” katanya.

    Beliau berkata bubur Asyura yang dikeringkan enak di makan begitu sahaja dan sesuai dihidangkan pada waktu minum petang.

    Penulis masih ingat bubur Asyura yang tidak habis dimakan dijemur bawah cahaya matahari sehingga kering dan boleh disimpan hampir seminggu.

    Cuma penulis berharap tradisi memasak bubur Asyura ini dapat diteruskan oleh generasi muda khususnya supaya ia “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas” ! – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Tradisi Masak Bubur Asyura Masyarakat Melayu "