• Tony Fernandes Pertahan Kru AirAsia

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+


    PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes melalui laman Twitternya mempertahankan tindakan kakitangannya ketika insiden penerbangan QZ535 dari Perth ke Denpasar.

    Penerbangan pada Ahad (15 Oktober) mengalami masalah teknikal yang memaksa pesawat berkenaan berpatah balik ke Perth 25 minit selepas berlepas.

    Insiden itu berlaku pada hari sama Tony, 53, mengahwini Chloe dalam majlis tertutup yang dihadiri keluarga, rakan terdekat dan pegawai atasan AirAsia.

    Beberapa rangkaian media Amerika Syarikat (AS) melaporkan krew pesawat berkenaan bertindak panik sewaktu kejadian itu.

    Media berkenaan melaporkan pesawat itu yang mengalami gangguan teknikal terpaksa turun dari ketinggian 9,700 meter ke 3,000 meter tanpa sebarang amaran.

    Tindakan kru penerbangan itu juga dikatakan menakutkan penumpang sehingga mereka memakai topeng oksigen.

    Namun, Tony melalui laman Twitternya menafikan laporan media berkenaan.

    "Agak mengecewakan apabila media memutar belit cerita sebenar. Juruterbang dan kru kami melakukan yang terbaik dalam insiden itu.

    "Kejadian pesawat hilang kawalan juga selalu berlaku dalam syarikat penerbangan lain," tulisnya.

    Tambahnya lagi, kru pesawat itu tidak menjerit tetapi memberitahu penumpang untuk duduk, memakai tali pinggang keledar dan topeng oksigen atas faktor keselamatan.

    Katanya, juruterbang mengawal pesawat dengan baik, membawa pesawat turun ke altitud yang sepatutnya dan mendarat dengan selamat.

    Dalam pada itu, Tony turut mengulang siar tweet seorang pengguna Twitter, Edmund Kiu yang menjelaskan bagaimana pesawat itu turun dengan baik dan bukannya dalam keadaan mengejut seperti yang dilaporkan media AS. - mStar

    Subjects:

  • No Comment to " Tony Fernandes Pertahan Kru AirAsia "