• Timbalan Rektor HEP UiTM, Pendaki Gunung Everest Meninggal Dunia

    Published: Wednesday, 18 October 2017
    A- A+


    KANGAR - Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) negeri, Muhd. Fauzan Hassan yang juga pendaki Gunung Everest pada 2007 meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas hari ini.

    Allahyarham yang berusia 53 tahun menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kulai, Johor, kira-kira pukul 6 pagi.

    Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.

    Sebelum itu, Allahyarham yang berasal dari Johor Bahru dilaporkan tiba-tiba mengalami sesak nafas di rumah keluarganya kira-kira pukul 4.30 pagi lalu dikejarkan ke hospital tersebut menggunakan ambulans.

    Menurut rakan sekerjanya, Ahmad Fikri Mohd. Kassim yang juga Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM negeri, Allahyarham sedang bercuti sempena pertengahan semester universiti di kampung halamannya.

    Katanya, beliau difahamkan, Allahyarham sebelum itu pergi bercuti bersama ahli keluarganya ke Singapura.

    “Saya dihubungi oleh isteri Allahyarham dengan menggunakan telefon bimbit milik Allahyarham kira-kira pukul 7 pagi yang memaklumkan suaminya itu telah meninggal dunia.

    “Saya kemudian memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan universiti,” katanya yang kali terakhir berjumpa Allahyarham semasa mesyuarat pengurusan minggu lepas, ketika dihubungi di sini hari ini.

    Pada 2007, Allahyarham bersama tiga warga UiTM mengharumkan nama universiti itu dan negara atas kejayaan menawan puncak Gunung Everest. - UTUSAN ONLINE
kapsyen - Muhd. Fauzan Hassan



    Subjects:

  • No Comment to " Timbalan Rektor HEP UiTM, Pendaki Gunung Everest Meninggal Dunia "