• Tiga Pelajar Nigeria Ditahan Bersama 23kg Dadah

    Published: Monday, 2 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Tiga pelajar warga Nigeria, yang disyaki menganggotai sindiket pengedaran dadah, ditahan bersama ganja dan methamphetamine seberat lebih 23 kilogram, dalam serbuan polis terhadap kondominium dekat Cheras, pada Khamis lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon, berkata suspek berusia 29 hingga 30 tahun itu ditangkap jam 2.30 petang oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Polis Daerah (IPD) Cheras, hasil maklumat dan risikan.

    Beliau berkata, pemeriksaan terhadap unit kondominium yang didiami dua suspek terbabit, menemui gumpalan pembalut aluminium mengandungi dadah jenis ganja seberat 0.56 gram.

    "Berpandukan maklumat daripada suspek, polis kemudian melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Kia Sephia sebelum menemui dua beg berisi ganja disorok dalam but.

    "Pemeriksaan terhadap beg pertama, menemui 10 ketulan mampat daun kering disyaki ganja dan tujuh lagi ketulan ditemui dalam beg kedua.

    "Turut ditemui dalam beg berkenaan adalah satu bungkusan plastik lut sinar berisi methamphetamine dengan berat keseluruhan semua dadah itu adalah 23.432 kilogram (kg) bernilai RM43,800," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

    Adnan berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek mendakwa mereka adalah pelajar sebuah kolej swasta dan masuk ke negara ini sejak 2013.

    Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesahkan, sama ada mereka benar-benar belajar di kolej yang dinyatakan.

    "Semua suspek direman selama enam hari sehingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tiga Pelajar Nigeria Ditahan Bersama 23kg Dadah "