• Tiga edar dadah 8kg diarah bela diri

    Published: Wednesday, 4 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Tiga lelaki diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar lapan kilogram dadah jenis Nimetazepam (Erimin 5), dua tahun lalu.

    Perintah itu dibuat Hakim Datuk Azman Abdullah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes.

    Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh, dua rakyat Taiwan, Wong Fu Tai, 21 dan Chen Chi Wen, 19 dan rakyat Malaysia Cheah Chee Seng, 57, didakwa dengan niat bersama mengedar dadah Nimetazapam seberat lapan kilogram.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Triple A Nine Enterprise, 86-88 LG, Wisma Peng Wah, Jalan Bukit Bintang, pada jam 10.50 malam, 30 April 2015.

    Semua tertuduh yang masing-masing kenalan didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

    Fu Tai dan Chi Wen masing-masing bekerja sebagai jurujual dan tukang kayu itu diwakili peguam Richard Ho dan Kee Wei Lon manakala tertuduh ketiga Chee Seng yang bekerja sendiri diwakili peguam KC Hue.

    Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aznika Mohd Anas.

    Mahkamah menetapkan 24 Oktober ini untuk perbicaraan kes pembelaan.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tiga edar dadah 8kg diarah bela diri "