• Tiga dituduh perdagang warga Indonesia

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+


    BINTULU: Tiga individu termasuk seorang wanita berusia 53 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 tuduhan menyeludup warga Indonesia awal bulan ini.

    Wanita terbabit Lu Sing Cho bersama dengan dua lelaki iaitu Wong See Hua, 59, dan Tommy Wong Chu Huang, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffudin.

    Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan 10 tuduhan mengeksploitasi 10 orang dewasa untuk melakukan kerja secara paksa di Lot 3968, Taman Heng, Jalan Sebiew di sini pada 2.45 pagi pada 2 Oktober lalu.

    Mengikut kertas pertuduhan, mangsa berumur antara 18 hingga 44 tahun.

    Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

    Semua tertuduh juga didakwa dengan tiga lagi pertuduhan mengeksploitasi tiga kanak-kanak berusia antara 15 hingga 16 tahun sebagai buruh paksa di tempat, waktu dan hari yang sama.

    Tiga tuduhan terakhir itu dilakukan mengikut Seksyen 12 Akta yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

    Norhamizah kemudian menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

    Beliau juga menetapkan 19 Disember untuk sebutan semula kes manakala perbicaraan dijalankan selama empat hari bermula 5 Februari, tahun depan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nor Solihin Salleh manakala peguam Hii Chee Wong mewakili semua tertuduh.-BHOnline
  • No Comment to " Tiga dituduh perdagang warga Indonesia "