• Tidak Bercadang Jadi Calon Dalam PRU14 – Ketua Wanita PRS

    Published: Friday, 6 October 2017
    A- A+


    PAKAN – Ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Doris Sophia Brodie berkata beliau tidak bercadang menjadi calon pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

    Memetik laporan Bernama, pada pendapatnya, parti tersebut seharusnya mempertaruhkan sekurang-kurangnya seorang calon wanita di mana-mana enam kerusi parlimen pada PRU14.

    “Kita ramai calon wanita yang amat berkelayakan di kesemua kawasan parlimen ini, tidak semestinya saya sendiri,” katanya pada mesyuarat agung tahunan PRS bahagian Pakan di sini semalam.

    Doris berkata beliau menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai yang ingin tahu sama ada beliau akan bertanding dalam pilihan raya umum kelak.

    “Apabila saya melawat ke kawasan pilihan raya PRS di mana-mana sahaja, orang sering beranggapan yang saya sedang meninjau kerusi untuk diri saya sendiri.

    “Malang sekali inilah harga yang perlu saya bayar selaku ahli politik. Lebih banyak anda aktif dalam politik, lebih banyak pergerakan anda diperhatikan umum,” kata Doris, yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara.

    Beliau berharap agar kepimpinan pusat PRS mempertimbangkan lebih banyak wakil rakyat wanita Dayak bertujuan membalas peranan, dedikasi dan komitmen yang dilaksanakan mereka dalam memberi khidmat kepada rakyat seiring dengan wakil rakyat lelaki.

    Terdahulu, Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing telah menyerahkan senarai calon parti bagi PRU14 kepada ketua menteri sarawak dan Perdana Menteri.

    Beliau turut mengumumkan nama empat calon iaitu Datuk Joseph Salang (Julau), Datuk Aaron Ago Dagang (Kanowit), Datuk Wilson Ugak Kumbong (Hulu Rajang) dan Datuk Masir Kujat (Sri Aman).

    Masing, bagaimanapun, belum mengumumkan nama calon bagi dua lagi kerusi PRS, iaitu Selangau dan Lubok Antu. – Sarawakiana
  • No Comment to " Tidak Bercadang Jadi Calon Dalam PRU14 – Ketua Wanita PRS "