• Tidak Adil Bandingkan Jumlah Penjawat Awam - PM

    Published: Tuesday, 3 October 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan tindakan pembangkang membandingkan jumlah penjawat awam negara ini dengan negara lain sebagai tidak adil kerana takrifan penjawat awam di Malaysia tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.

    Perdana Menteri berkata, pembangkang harus memahami bahawa takrifan penjawat awam di negara ini meliputi sektor perkhidmatan kesihatan seperti doktor dan jururawat, anggota keselamatan termasuk polis dan tentera serta warga pendidikan yang merangkumi hampir setengah juta guru.

    "Di sebahagian negara lain, mereka tidak menghitung pekerja dalan sektor kesihatan, keselamatan dan pendidikan sebagai penjawat awam.

    "Disebabkan itu, kita sama-sama tersinggung dan marah apabila terdapat sesetengah pihak khususnya daripada pembangkang yang sesuka hati menuduh kononnya perkhidmatan awam negara ini sebagai terlebih bilangannya dan dengan angkuhnya mahu mengurangkan separuh daripada jumlah penjawat awam," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-15 (MAPPA XV) dengan tema Aspirasi Perkhidmatan Awam Menuju TN50: Penyampaian Untuk Kesejahteraan Rakyat dan Negara di sini, hari ini.

    Perdana Menteri berkata, apa yang lebih mengecewakan, pembangkang tergamak melabelkan penjawat awam, memberi tanggapan negatif dan menyelar mereka secara semberono dengan mendakwa perkhidmatan awam ini sebagai 'tidak cekap' dan 'makan gaji buta', serta sanggup menghina penjawat awam sebagai 'kucing kurap'.

    "Sanggupkah tuan-tuan dan puan-puan mempertaruhkan masa depan dan anak cucu keturunan kita kepada pihak yang sedemikian ini?

    "Ajaran agama pun menuntut agar kita bersyukur dengan nikmat yang sedang dikecapi dan tidak secara mudah membiarkan tanah air jatuh ke tangan mereka yang tidak menghargai sumbangan dan susah payah penjawat awam," katanya.

    Kerajaan sedia ada, katanya, memberi dan menyediakan pelbagai inisiatif serta membuat penambahbaikan demi membela kepentingan dan menjaga kebajikan penjawat awam.

    Antaranya, kata beliau, menaikkan gaji penjawat awam sebanyak tujuh hingga 13 peratus pada 2012 dan penetapan gaji terendah daripada RM832 kepada RM1,200 sebulan mulai Julai 2016. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Tidak Adil Bandingkan Jumlah Penjawat Awam - PM "